Kepala sangkut celah tiang

Seorang murid sebuah sekolah di China tersangkut di celah antara dua tiang selama lebih satu jam. FOTO Agensi

BEIJING: Seorang murid sebuah sekolah di China berdepan detik-detik cemas selepas badannya tersangkut di celah antara dua tiang selama lebih satu jam.

Murid lelaki itu dilaporkan bermain di Sekolah Rendah Jinguang di Datong sebelum memasukkan badannya di celah tiang berkenaan.

Bagaimanapun, kepalanya tersekat di celah tiang itu menyebabkan dia terperangkap.

Guru di sekolah itu pada mulanya cuba mengeluarkan murid berkenaan tetapi gagal sebelum meminta bantuan bomba.

Dalam satu rakaman video yang tular, menunjukkan anggota bomba menggunakan set jek kereta dan pemutar skru untuk mengeluarkan kanak-kanak itu.

Seorang anggota bomba dilihat membuka jek kereta berkenaan perlahan-lahan manakala seorang lagi berhati-hati memecahkan tepi tiang berkenaan menggunakan pemutar skru.

Murid itu juga dilihat cemas dan menangis sepanjang operasi berkenaan.

Selepas hampir sejam akhirnya bomba berjaya mengeluarkan murid itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *