Tujuh Individu Ditahan Dalam Ops Sarang Di Inanam

SUSPEK diarahkan menaiki kenderaan polis selepas ditahan dalam Ops Sarang sebelum dibawa ke IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua wanita antara tujuh individu terpaksa menghabiskan percutian Pesta Kaamatan mereka di lokap selepas ditahan dalam Ops Sarang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Sarang yang dijalankan di Inanam 28 Mei lalu.

“Seorang daripada suspek ditahan selepas melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1), dua ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan empat yang lain mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi dijalankan pihaknya turut merampas 7.40 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM1,100.

“Kesemua suspek berumur 16 hingga 56 tahun kini dalam tahanan reman untuk menjalani siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa terutama di kawasan hitam bagi usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah, di sini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat serta aktiviti penyalahgunaan dadah yang kemudiannya membawa kepada penangkapan pesalah dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *