Kerajaan negeri gembira dengan kehadiran Huguan Siou

Mohd Shafie dan Pairin bersalaman. Pairin yang juga Huguan Siou tidak hadir majlis yang sama tahun lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menzahirkan rasa berbesar hati dengan kehadiran Huguan Siou atau pemimpin agung Kadazandusun dalam Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan, di Hongkod Koisaan, KDCA.

Mohd Shafie berkata kehadiran Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ke majlis berkenaan memperlihatkan perbezaan serta kepelbagaian yang ada bukan penghalang bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Mohd Shafie bersalaman dengan orang ramai semasa ketibaan di Hongkod Koisaan, KDCA pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

”Saya berbesar hati kerana dengan adanya Huguan Siou di majlis ini, ia boleh membuatkan kita bangga kerana perintis budaya ada bersama kita. Legasi inilah yang kita tinggalkan untuk rakyat Sabah.

”Kita yakin perlu ada penyatuan rakyat kerana ia penting untuk membolehkan kita maju ke hadapan.

”Ini adalah kebaikan untuk generasi masa hadapan dan tidak hanya memikirkan tentang diri kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, beliau mengenali Pairin untuk tempoh yang cukup lama maka, tiada masalah untuknya bekerjasama dengan pemimpin agung masyarakat Kadazandusun berkenaan.

Ini adalah sambutan Pesta Kaamatan pertama dihadiri Pairin selaku pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau adalah Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) selain bekas Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Datuk Peter Anthony berkata, kehadiran tokoh Kadazandusun membuktikan kesepakatan  masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah.

“Kehadiran Huguan Siou itu memperlihatkan pemimpin KDMR sentiasa memberi keutamaan kepada masyrakat tanpa mengambil kira perbezaan politik,” katanya. -SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *