Francisca Ester Dinobat Ratu Unduk Ngadau Kaamatan 2019

Unduk Ngadau yang mewakili Karambunai, Francisca Ester Nain (tengah) dinobatkan juara Unduk Ngadau 2019 Peringkat Negeri Sabah 2019 di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

FRANCISCA – KARAMBUNAI -UNDUK NGADAU KAAMATAN 2019

PENAMPANG: Francisca Ester Nain yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2019, selepas berjaya mengalahkan 63 peserta lain, hari ini.

Sebagai pembaharuan pertandingan UNK 2019 iaitu pra-penilaian serta sesi soal jawab menjadi salah satu penekanan dalam pertandingan, Francisca menggunakan kebolehannya berbahasa Dusun Tindal untuk menjawab soalan yang diberikan pada pusingan ketiga itu.

Francisca dimahkotakan tiara oleh Unduk Ngadau tahun lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Francisca, 25 menjawab soalan pilihan dalam bahasa ibunda dan menjawab persoalan yang diberikan dengan padat.

Selain itu, katanya dengan pengalaman beliau menyertai UNK negeri pada 2017, membuktikan usaha beliau untuk memperbaiki kekurangan pada ketika itu.

“Melalui pengalaman lepas, saya memperbaiki kekurangan dalam UNK ini. Namun, bukan bermaksud saya yang paling hebat antara semua peserta. Saya akan sentiasa memperbaiki kelemahan diri.

“Sebagai UNK 2019, saya akan gunakan platform ini untuk mempengaruhi belia-belia atau generasi kini khususnya masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) untuk menghargai kebudayaan mereka seperti penggunaan bahasa ibunda mereka sendiri.

Francisca Ester Nain (kanan) memeluk Annette Rabecca Januin @ Abdon selepas namanya diumum sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2019 di Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Sebab, kita tahu penggunaan bahasa ibunda kita itu sangat penting. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan gunakan?” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2019 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.

Melalui kemenangan berkenaan, Francisca membawa pulang hadiah berjumlah RM100,000 secara keseluruhan termasuk wang tunai bernilai RM18,000, mahkota, selempang, biasiswa pendidikan (RM50,000), dua tiket penerbangan pergi balik ke Narita Jepun serta Seoul Korea dan barangan tajaan.

Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2019 mewakili Karambunai, Francisca Ester Nain sedang disarungkan selendang oleh Datin Dr Jaina Sintian, isteri kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Manakala, naib johan disandang oleh Annette Rabecca Januin @ Abdon mewakili Dun Pantai Manis. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000, trofi, selempang, biasiswa pendidikan (RM40,000), tiket penerbangan pergi balik ke Bangkok Thailand dan barangan tajaan.

Keseluruhan hadiah naib johan bernilai RM70,000.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Leticia Casianus Bansin mewakili Penampang.

Leticia membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 termasuk hadiah wang tunai RM10,000, biasiswa pendidikan (RM30,000), trofi, selempang, tiket penerbangan pergi balik ke Manila Filipina dan barangan tajaan lain.

Unduk Ngadau 2019 yang mewakili Karambunai, Francisca Ester Nain (tengah) bersama naib johan Annette Rabecca Januin @ Abdon yang mewakili Dun Pantai Manis (kiri) dan tempat ketiga dari Penampang Leticia Casianus Bansin. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, dengan pembaharuan pertandingan UNK 2019 iaitu penghasilan buku kajian budaya satu anugerah turut disampaikan bagi peserta UNK 2019 terbaik dalam buku kajian tersebut.

Anugerah tersebut adalah Suduvan Huminodun yang mana diberikan kepada Priscilla Gukim dari Dum Tanjung Papat yang mana sesi pembentangan dan soal jawab diadakan pada 28 Mei.

Melalui anugerah itu Priscilla membawa pulang wang tunai RM800, trofi beserta sijil.

Empat peserta lain yang turut memberi saingan pada pusingan ketiga adalah Skye Judith Harding (Tamparuli), Conne Juenin (Kundasang), Nurul Yanadido (Tandek) dan Vinny Alvionitta Sasising (Klang Valley). –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *