Petrol ada, pemilik hilang

PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 650 liter petrol dalam Operasi Terancang yang dilaksanakan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEBANYAK 650 liter petrol dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Operasi Terancang yang dilaksanakan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam operasi 11.50 pagi itu, pemilik bahan api itu dikatakan tidak muncul selepas sejam anggota PPM melakukan pemerhatian di kawasan berkenaan.

PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 650 liter petrol dalam Operasi Terancang yang dilaksanakan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi dilakukan selepas menerima maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM) berhubung kehadiran bahan api itu di jeti terbabit.

“Hasil risikan dan pemerhatian selama sejam di kawasan jeti itu mendapati sebanyak 26 unit jerikin petrol diletakkan di hadapan jeti, namun pemilik bahan api itu namun pemiliknya tidak diketahui.

“Semua minyak petrol itu kemudian dirampas dan dibawa ke pejabat PPM Kota Kinabalu untuk dibuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Pajeri berkata, semua petrol itu dipercayai mahu dibawa ke Pulau Gaya, namun pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan berkenaan.

“Pemilik asal petrol berkenaan pula dipercayai tidak berani menonjolkan diri kerana bimbang diambil tindakan selepas menyedari kehadiran anggota PPM,” katanya.

Katanya lagi, petrol bernilai RM1,352 itu akan dirujuk kepada KPDNHEP dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *