Kompleks Sukan Kuala Penyu akan dibina segera

SYED SADDIQ ketika menjawab soalan-soalan pihak media di majlis itu.
SYED SADDIQ ketika menjawab soalan-soalan pihak media di majlis itu.

BEAUFORT : Isu pembinaan Kompleks Sukan Kuala Penyu yang menjadi tanda tanya selama ini akhirnya terjawab seteleh Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan jaminan ianya akan dilaksanakan segera.

Beliau berkata, kelewatan pembinaan itu adalah disebabkan oleh faktor tanah yang menyebabkan projek tersebut tidak dapat dilaksanakan pada ketika itu.

Jelasnya, beliau telah dimaklumkan bahawa isu tanah untuk pembinaan kompleks sukan itu telah pun diselesaikan dan kementeriannya akan memastikan pembinaannya dapat dilaksanakan segera.

“Difahamkan projek tersebut tergendala disebabkan oleh isu tanah. Kementerian tidak ada masalah untuk melaksanakan projek, dan kita akan pastikan projek itu dapat dimulakan segera.

“Warga Beaufort beruntung kerana mendapat wakil rakyat yang sangat prihatin terhadap keperluan dan pembangunan sukan di sini, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Program Rakan Muda Ramadhan Khatam al-Quran peringkat Negeri Sabah di Masjid Kampung Limbawang.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf dan anak yatim seterusnya berbuka puasa bersama mereka serta penduduk kampung yang hadir.

Sempena Program Rakan Muda Ramadhan, turut diadakan sesi konsultasi daripada kementerian khusus untuk belia-belia yang hadir.

Dalam sesi konsultasi itu, para belia turut mengajukan beberapa soalan dan pandangan bagi pembangunan belia di kawasan itu bagi memastikan kementerian dapat merangka program-program bermanfaat untuk mereka. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *