Sedih tidak dapat beraya bersama Beloi

PASUKAN polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth. FOTO NSTP

Kota Kinabalu: “Ketika berbuka puasa kami sempat berbincang tema warna baju raya tahun ini dan dia kelihatan begitu gembira. Saya begitu terkejut dan tidak menyangka kehilangannya begitu cepat.

“Amat sedih apabila saya sendiri menemui mayatnya di dasar laut berdasarkan baju dipakainya ketika kami berbuka puasa,” kata Rauf Hassan, 22, sepupu mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua bot dekat Kampung Pondo, Pulau Gaya, tengah malam tadi.

Tiga mayat di bawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu, semalam sebelum di bawa ke hospital untuk siasatan lanjut. – Foto Junaidi Ladjana

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, sepupu Rauf, Beloi Andoni, 15, dan David Waling, 19, Betiran Lajabiti, 20, dari Kampung Pondo, maut.

Bapa Beloi pula antara tujuh mangsa yang cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Rauf berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya sebelum dikejutkan sepupunya bahawa bot penumpang dinaiki Beloi bersama bapanya dilanggar bot lain ketika dalam perjalanan ke Jeti Safma.

“Saya bersama ahli keluarga dan penduduk kampung bergegas ke lokasi dengan menaiki bot. Sebaik tiba beberapa mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital manakala tiga mangsa masih hilang.

“Saya bersama keluarga melakukan pencarian dan tidak lama selepas itu, saya menemui mayat Beloi di dasar laut. Saya dapat mengecamnya berdasarkan baju dipakainya ketika kami berbuka puasa bersama-sama,” katanya.

Rauf berkata, arwah Beloi dan bapanya menjual ikan di Pasar Ikan Kota Kinabalu dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pasar berkenaan untuk bersiap menjual ikan.

“Saya tidak menyangka kehilangan Beloi begitu cepat. Pertemuan kami ketika waktu berbuka puasa menjadi pertemuan terakhir kami.

“Beloi begitu gembira ketika kami berbincang untuk beraya bersama dan dia sempat ketawa kerana bingung memilih tema warna baju raya tahun ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *