BERSATU sasar 100,000 belia dari Sabah tahun depan

Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (duduk tengah tiga dari kanan) bergambar bersama Ketua Penaja Armada Bahagian BERSATU Sabah ketika majlis penyampaian watikah di Hotel Magellan Sutera.

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyasarkan untuk mencapai 100,000 ahli dari Sabah menyertai sayap pemudanya.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata biarpun jumlah ahli sayap pemuda belum muktamad di negeri ini, namun beliau yakin mampu mencapai angka itu tahun depan.

“Ketika ini, ada antara 100,000 hingga 150,000 ahli armada di seluruh negara.

“BERSATU telah melebarkan sayap pemuda ke seluruh negeri di Malaysia, kecuali Sarawak yang belum dilancarkan, namun kita ada ahli tidak rasmi di Sarawak,” katanya selepas menyerahkan surat pelantikan kepada 24 ketua penaja ARMADA Bahagian BERSATU di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Ketua ARMADA BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Mengenai sayap pemuda di Sabah, Syed Saddiq berkata, ahlinya sudah bekerja keras dan ikhlas biarpun sebelum pelantikan mereka.

Katanya, beliau berbangga dengan pencapaian mereka biarpun pada peringkat awal, mereka adalah ahli tidak rasmi dan tidak mempunyai kedudukan, namun bergerak cepat dan berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sudah bertemu dengan ramai pemimpin muda yang ikhlas membantu menyampaikan suara anak muda menerusi ARMADA,” katanya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan turut memberi jaminan bahawa ARMADA tidak akan menjadi ‘pak turut’ yang hanya menurut apa yang diperkatakan orang lain.

Katanya, parti itu juga sudah memberi banyak peluang kepada belia untuk berada di jawatan tertinggi.

“Biarpun kita parti yang baru, lebih daripada 25 orang muda dicalonkan pada pilihan raya umum yang lalu.

“Selain itu, untuk kepemimpinan tertinggi, BERSATU adalah antara parti komponen yang membenarkan belia menjadi sebahagian daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *