Polis terima 7 laporan kes borang palsu JPN

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah menerima tujuh laporan berhubung dakwaan pengeluaran borang palsu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertera lambang Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang tular melalui media sosial, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata justeru orang ramai diminta menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis diterima. Serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan kerana bimbang nanti ada sindiket yang terbabit cuba merosakkan nama pihak tertentu.

“Oleh itu, saya menasihatkan supaya jangan membuat spekulasi atau andaian sebelum pihak polis menjalankan siasatan terperinci,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pengeluaran borang palsu JPN tertera lambang WARISAN yang didakwa membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memohon dokumen pengenalan diri, disyaki didalangi sindiket untuk mengaut keuntungan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, dipetik sebagai berkata sindiket terbabit dipercayai mengambil kesempatan terhadap warga asing yang sanggup membeli borang itu kerana terdesak tanpa mengetahui mereka ditipu.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan polis untuk menjaga keselamatan menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Aidilfitri pula, Omar berkata, pihaknya sudah melancarkan pelbagai operasi bagi tujuan itu.

“Kita sudah menjalankan operasi lawatan dari rumah ke rumah untuk melihat kediaman yang ditinggalkan kerana dibimbangi terdedah kegiatan pecah rumah. Namun setakat ini, kes berkaitan pecah rumah menurun.

“Operasi ini akan diteruskan hingga musim perayaan selesai. Bagaimanapun, saya tetap menyeru penghuni yang meninggalkan rumah supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan dan jiran.

“Selain itu, jangan meninggalkan surat khabar yang dihantar di luar rumah kerana ia memberi isyarat kepada penjenayah bahawa kediaman tidak berpenghuni,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *