Jakarta berantakan

PENUNJUK perasaan melepaskan tembakan mercun ke arah polis ketika bertempur di Jalan Thamrin, Jakarta. FOTO ReutersAFP

Jakarta: Ibu kota Indonesia bertukar huru-hara semalam apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan menembak meriam air ke arah ribuan penunjuk perasaan yang membantah kemenangan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

Tunjuk perasaan yang bermula kelmarin itu menyebabkan beberapa lokasi di Jakarta dipenuhi dengan sampah sarap dan kereta yang terbakar.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, seramai enam orang maut dan lebih 200 cedera ketika bertempur dengan polis antirusuhan. Puluhan lagi ditangkap.

Polis berkata, pihaknya masih menyiasat punca kematian mangsa tetapi menafikan pihak berkuasa menembak peluru hidup ke arah kumpulan penunjuk perasaan.

Pada awal pagi semalam, beberapa penunjuk perasaan membakar gerai dan kereta serta membaling batu dan mercun ke arah polis yang mengarahkan mereka bersurai.

Tidak lama kemudian jalan utama di bandar itu dihalang, beberapa pusat beli-belah, bangunan pejabat dan sekolah juga ditutup.

Lebih 30,000 askar dikerahkan ke Jakarta sebelum pengumuman rasmi pilihan raya presiden diumumkan.

SEORANG penunjuk perasaan berlari sambil membawa bendera Indonesia. FOTO Reuters

Jumlah penunjuk perasaan dilaporkan semakin meningkat dan polis menjangkakan lebih ramai akan berhimpun menjelang malam.

Sebahagian penunjuk perasaan yang datang dilihat membawa batang kayu dan meletakkan ubat gigi di sekeliling mata mereka untuk mengurangkan kesan gas pemedih mata.

Jurucakap polis Indonesia, Muhammad Iqbal berkata, majoriti penunjuk perasaan yang datang adalah dari luar Jakarta dan polis turut menemui sampul surat mengandungi wang ketika membuat pemeriksaan terhadap mereka.

“Insiden yang berlaku pada pagi ini bukannya spontan tetapi ia dirancang,” katanya.

Kekacauan itu tercetus selepas suruhanjaya pilihan raya kelmarin mengesahkan Jokowi menewaskan jeneral bersara Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, Prabowo tidak menerima keputusan itu kerana menganggap berlaku penipuan besar-besaran.

“Saya perlu menyokong kedaulatan Indonesia. Berlaku penipuan besar-besaran dalam pilihan raya ini,” kata seorang penyokong Prabowo, Puji Astuti.

KENDERAAN yang musnah dibakar penunjuk perasaan ketika rusuhan di Jakarta. FOTO AFP

Beberapa bekas pegawai tentera yang menyokong Prabowo juga ditangkap termasuk bekas komander pasukan khas kerana dituduh menyeludup senjata kepada penunjuk perasaan.

Rusuhan itu juga mencetuskan kemarahan pengguna Internet di Indonesia dengan tanda pagar #Tangkapprabowo menjadi sohor kini di media sosial.

Indonesia sekat media sosial

Pihak berkuasa Indonesia mengehadkan media sosial untuk menghalang penyebaran berita palsu dan hasutan yang dibimbangi boleh menyemarakkan lagi rusuhan di Jakarta, kata menteri politik, undang-undang dan keselamatan, Wiranto semalam.

ANGGOTA polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan. FOTO EPA

“Untuk mengelak berlaku provokasi dan penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat, kami akan mengehadkan beberapa bahagian media sosial,” katanya.

Wiranto berkata, pihak berkuasa juga sudah mengetahui siapa dalang rusuhan berkenaan dan akan memastikan tindakan diambil terhadap mereka.

“Kami sebenarnya, daripada hasil siasatan sudah tahu siapa dalang rusuhan berkenaan. Pihak berkuasa dengan seluruh kekuatan akan bertindak tegas terhadap mereka.

“Berdasarkan rentetan peristiwa hingga tercetusnya rusuhan, kami melihat ada usaha untuk membuat kekacauan di seluruh negara,” katanya.

Bagaimanapun, Wiranto tidak menyatakan siapa dalang berkenaan.

Rusuhan besar-besaran di Jakarta itu bermula kelmarin selepas pengumuman keputusan pilihan raya presiden yang memihak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Keputusan itu dibantah pesaingnya, Prabowo Subianto yang menuduh berlakunya penipuan besar-besaran dalam pilihan raya berkenaan. – AFP

KUMPULAN penunjuk perasaan yang bertempur dengan polis di Jakarta. FOTO EPA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *