Penyu mati bukan disebabkan kaedah penyelidikan saintifik – TKM Sabah

KOTA KINABALU, 22 Mei – Tiada bukti untuk menyokong dakwaan bahawa kaedah penyelidikan saintifik telah menyebabkan kematian penyu di perairan Pulau Mabul di Semporna, menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew.

Bagaimanapun, beliau berkata, para saintis yang terlibat akan membuat perubahan yang sesuai dengan kaedah untuk keselamatan tambahan penyu.

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata universiti berkenaan akan meneruskan kerjasamanya dengan resort di Mabul berhubung kesedaran awam, pendidikan dan pemuliharaan penyu di pulau itu.

“Ancaman utama antropologi terhadap penyu laut di Sabah, dikenal pasti sebagai pemburuan haram, pencemaran plastik dan kehadiran bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, penyelam profesional menyuarakan kebimbangan tentang kaedah yang digunakan dalam proses penandaan penyu oleh penyelidik di Mabul.

Timbalan presiden Persatuan penyelam Profesional Semporna, Dahlan Maizin berkata, proses penandaan baru-baru ini yang digunakan di perairan Mabul melibatkan teknik menggunakan beg angkat untuk mengeluarkan penyu.

Para penyelam dan instruktur mendapati penyu-penyu mati dengan tali diikat di sekeliling tetapi mereka tidak yakin sama ada ia berkaitan penyelidikan atau penangkapan spesies itu secara haram.

Christina berkata perbincangan meja bulat telah dianjurkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan para saintis, pengurusan resort dan beberapa NGO berkaitan untuk mencari jalan bagi projek penyelidikan penyu laut di Pulau Mabul.

Beliau berkata projek penyu laut Mabul yang bermula pada tahun 2013 mencatatkan lebih seribu tangkapan penyu sehingga 2019 dengan data-data kesihatan dan genetik yang penting diperolehi.

Setiap penyu yang ditangkap ditandakan untuk memberikan nombor pengenalan unik untuk pemantauan jangka panjang, katanya.

Christina berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah bekerjasama rapat dengan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha menangkap pemburu haram, serta menghalang orang lain daripada melakukan jenayah itu.

Beliau berkata program pembersihan dan kesedaran mengenai bahaya plastik yang dibuang telah dijalankan untuk pelajar sekolah dan masyarakat umum.

Penyu laut adalah dilindungi di Sabah di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *