Kontraktor terlibat pembinaan Pan Borneo diingatkan tidak rosakkan utiliti di sepanjang laluan

KOTA KINABALU, 22 Mei – Kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo diingatkan supaya tidak merosakkan utiliti yang terdapat di sepanjang laluan itu.        

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata kontraktor seharusnya merujuk kepada pihak berkaitan agar tidak menimbulkan masalah kepada penduduk sekitar terutamanya bekalan air bersih yang terganggu akibat paip pecah.           

“Banyak utiliti melibatkan Jabatan Air rosak sehingga menyebabkan ramai pengguna terutamanya di kawasan Beaufort, Membakut dan Kimanis terjejas teruk,” katanya  pada sidang media, di sini hari ini.

Peter berkata kontraktor yang dilantik perlu berhati-hati dalam melaksanakan sepanjang pakej pembinaan itu dan tindakan akan diambil sekiranya didapati merosakan utiliti kerajaan dibahu jalan, sepanjang jalan atau sekitar jalan berkenaan.

Beliau berkata, pihak kontraktor boleh merujuk kepada jabatan berkaitan bagi mengenalpasti kedudukan utiliti seperti Jabatan Air dan Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB).

“Sekiranya kontraktor ingkar dengan arahan, tindakan memberhentikan mereka serta merta akan diambil kerana yang penting perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *