Buruh miskin kaya sekelip mata

JORDAN mewarisi hartanah mewah bapanya selepas melakukan ujian DNA. FOTO AgensiAgensi

LONDON: Seorang buruh miskin menjadi kaya raya sekelip mata apabila ujian DNA mengesahkan dia adalah pewaris hartanah milik bapanya bernilai jutaan dolar di England.

Daily Mail melaporkan, Jordan Adlard-Rogers, 31, berjaya membuktikan dia adalah anak luar nikah kepada Charles Rogers, seorang aristokrat yang memiliki Penrose Estate di Cornwall.

RUMAH mewah yang tersergam indah di Cornwall kini milik Jordan.

Jordan berkata, dia menghabiskan masa beberapa tahun lalu, untuk membuktikan dia mempunyai pertalian darah dengan Charles namun lelaki itu enggan melakukan ujian DNA.

Ujian itu disahkan selepas Charles terbabit ditemui mati dalam kenderaannya di kawasan berkenaan pada usia 62 tahun.

News.com.au melaporkan, hartanah mewah itu mempunyai keluasan kira-kira dua juta meter persegi dengan nilai £50 juta (RM265 juta).

Harta itu yang diwarisi sejak beberapa keturunan, sudah diserahkan kepada satu badan warisan pada 1974. Keluarga Charles menandatangani pajakan selama 1,000 tahun.

Jordan meraikan berita gembira itu dengan membeli sebuah Mercedes C63 dan membina gimnasium di luar rumah. Dia berhenti kerja serta melancong ke New York bersama pasangannya.

Bapa kepada seorang anak itu akan turut dibayar £1,000 (RM5,312) setiap minggu sebagai sebahagian pakej harta diwarisi itu.

Jordan berkata, biarpun nasibnya kini sudah berubah, namun dia berhasrat untuk menjalani kehidupan seperti biasa serta membantu orang yang memerlukan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *