AS pandang rendah keupayaan kami – Huawei

Pengasas Huawei Technologies Co Ltd, Ren Zhengfei menegaskan Amerika Syarikat memandang rendah keupayaan syarikatnya itu. – Foto Reuters

BEIJING: Pengasas Huawei Technologies Co Ltd, Ren Zhengfei menegaskan Amerika Syarikat (AS) memandang rendah keupayaan syarikatnya itu.

Zhengfei berkata walaupun terdapat percubaan untuk menyukarkan lagi pihaknya menjalankan perniagaan dengan syarikat AS, tetapi ia tidak menghalang perancangan 5G syarikat.

“Amalan semasa ahli politik AS meremehkan kekuatan sebenar kami. Teknologi 5G kami tidak akan terjejas kerana dari segi teknologi sedia ada, tiada pihak yang dapat mengejar Huawei dalam masa dua atau tiga tahun akan datang,” katanya dalam temu bual dengan media China, sambil menambah bahawa syarikatnya itu mempunyai stok komponen dan cip, serta tidak dapat dipisahkan dari dunia.

Zhengfei berkata, pihaknya juga sedang dalam perbincangan dengan Google bagi mencari jalan penyelesaian larangan AS itu.

Beliau menyifatkan Google sebagai syarikat yang sangat bertanggungjawab, dan kedua-dua pihak membincangkan jalan penyelesaian terbaik.

Huawei disenarai hitam oleh AS dan mengeluarkan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih dua belas negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Tindakan itu terjadi apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perang tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei.

Jabatan Perdagangan AS terlebih dulu mengeluarkan notis Rabu lalu bahawa ia menambah Huawei ke dalam senarai hitam itu.

Huawei “terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan keselamatan negara atau kepentingan dasar luar AS,” kata perintah itu.

-AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *