2 pekerja parah terjatuh dari pencawang

Mangsa parah selepas terjatuh dari pencawang Telekom setinggi 30 meter ketika melakukan kerja penambahbaikan di Kampung Kuala Abai, Kota Belud. – NSTP/Recqueal Raimi

KOTA BELUD: Dua pekerja kontraktor pembinaan parah apabila terjatuh dari ketinggian 30 meter (m) sebuah pencawang telekomunikasi ketika melakukan kerja penambaikan di Kampung Kuala Abai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Sylverius Dami, 28, dan Miandi Ungkaris, 40, dilaporkan luka pada muka dan patah tulang di bahagian tangan serta kaki kanan.

Mangsa parah selepas terjatuh dari pencawang Telekom setinggi 30 meter ketika melakukan kerja penambahbaikan di Kampung Kuala Abai, Kota Belud.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.37 petang sebelum 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bersama dua jentera.

Beliau berkata, setiba di lokasi, kedua-dua mangsa didapati dalam keadaan terbaring di atas simen (tapak pencawang) dan tidak mampu bergerak.

“Ketika bomba tiba, mangsa masih sedar dan anggota segera memberikan rawatan awal sebelum mereka dihantar ke Hospital Kota Belud.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa terjatuh dari ketinggian 30m sebelum tersangkut pada ketinggian 3.05m dan diturunkan rakan sekerja lain,” katanya ketika dihubungi BH.

Rozlan berkata, mangsa dirawat di wad kecemasan Hospital Kota Belud sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala operasi ditamatkan pada jam 5.20 petang,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *