Polis Kota Kinabalu Keluarkan 2 Saman Dalam Ops Mabuk

POLIS menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu yang disyaki mabuk di Kota Kinabalu, awal pagi tadi. FOTO ihsan PDRM

DUA pemandu mabuk dikesan dalam sekatan jalan ‘Op Mabuk’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Pemeriksaan yang bermula jam 1 pagi itu dijalankan di beberapa jalan utama sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, sepanjang operasi itu, seramai 43 pengguna jalan raya ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, 10 pemandu kenderaan diarahkan menjalani saringan awal menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII).

“Bagaimanapun dua daripada pemandu kenderaan itu didapati mempunyai bacaan kandungan alkohol lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

“Dua pemandu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

George berkata, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan enam saman atas palbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh dan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.

Menurutnya, operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu-lintas.

“Sekatan jalan ini juga akan diadakan bagi mengelakkan pengguna jalan raya memandu ketika berada dalam pengaruh alkohol yang boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna lain,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *