Hujan lebat setempat boleh sebabkan banjir kilat

Banjir kilat di kawasan jalanraya, tempat letak kereta dan bulatan Hospital Queen Elizabeth. – Foto Media Sosial

KOTA KINABALU: Hujan lebat setempat seperti yang berlaku di bandar raya ini pada Khamis dan Jumaat lalu boleh berulang sepanjang Monsun Barat Daya hingga September depan dan menyebabkan banjir kilat di kawasan berisiko, khususnya yang berdepan masalah perparitan.

Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Ambun Dindang, berkata walaupun Monsun Barat Daya yang baru memasuki fasa awal ketika ini lebih kering berbanding monsun lain, hujan boleh berlaku jika keadaan atmosfera sesuai untuk pembentukan awan besar.

“Awan besar sering membawa hujan lebat setempat dan ia boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan berisiko jika sistem perparitan tidak dapat menampung air hujan yang banyak,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi cuaca semasa di Sabah berikutan hujan lebat berterusan pada Khamis dan Jumaat lalu yang turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.

Jabatan Meteorologi dalam amaran cuaca yang dikeluarkan sebelum ini memaklumkan hujan dan ribut petir itu berlaku di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah.

Berikutan situasi itu, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada jawatankuasa bencana alam daerah di seluruh negeri untuk mengambil langkah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dan bencana alam lain.

Ambun berkata, hujan yang lebih kerap kebelakangan ini juga menurunkan suhu yang panas dialami sejak awal tahun.

Mengenai cuaca panas, Ambun berkata, Sabah dijangka bebas daripada ancaman gelombang haba bermula Mei memandangkan fenomena itu kebiasaannya hanya berlaku pada Mac dan April.

“Tiada gelombang haba atau cuaca panas dikesan di Sabah buat masa sekarang. Jabatan akan mengeluarkan nasihat gelombang haba jika kriteria dicapai.

“Lazimnya suhu tinggi yang boleh menyebabkan gelombang haba berlaku pada Mac dan April, maka jabatan tidak menjangkakan ada gelombang haba pada bulan-bulan datang,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan cuaca boleh melayari laman sesawang jabatan di www.met.gov.my atau memuat turun aplikasi telefon bimbit myCuaca. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *