63 Individu Ditahan Sepanjang Ops Sarang

Salah seorang individu dipercayai mempunyai kesalahan berkaitan dadah cuba melarikan diri berjaya ditahan pihak berkuasa ketika Ops Sarang di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu-

KOTA KINABALU: Seramai 63 individu berusia antara 14 hingga 50 tahun ditangkap berikutan kesalahan berkaitan dadah sepanjang Ops Sarang bermula 11 sehingga 17 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata daripada jumlah itu, 47 individu adalah warga tempatan manakala 16 adalah rakyat asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah.

Beliau berkata seramai tiga individu ditangkap dibawah kategori bekalan dan pengedaran, 15 orang pula ditahan atas kesalahan memiliki dadah, kesalahan urin (44 orang) dan seorang di atas kesalahan mengikut Akta Racun.

“Ops Sarang kali ini tertumpu dibeberapa lokasi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu iaitu di Kampung Sembulan Lama, Kampung Delima, Kampung Likas dan Kampung Kalutan Inanam.

“Kita turut merampas kira-kira 18.54 gram dadah jenis jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2,781 mengikut harga dadah semasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, George berkata usaha berkenaan turut diperkasakan dengan mempertingkatkan Ops Tapis yang dijalankan sebanyak 19 kali sepanjang minggu.

Beliau operasi tersebut adalah yang ke-20 telah dijalankan tahun ini di kawasan Kampung Sembulan Lama dengan kejayaan tujuh tangkapan atas kesalahan memiliki dadah selain empat tangkapan penagih yang dikehendaki dalam usaha mengatasi masalah dadah serta jenayah di lokasi terbabit.

Sementara itu, George berkata usaha membanteras pengedaran serta penagihan dadah sekitar bandar raya dan kawasan berhampiran akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan orang awam. – SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *