Penjenayah Mahu Buka Kedai Jual Telefon Terpakai Hasil Rompakan

Haris (tengah) menunjukkan alat muzik yang dilaporkan dicuri di sebuah gereja berjaya ditemukan selepas menahan tiga suspek utama di Penampang.

KOTA KINABALU: Berhasrat untuk membuka sebuah kedai telefon dan gajet elektronik terpakai untuk menjual barangan yang dicuri.

Niat seorang lelaki bagaimanapun tidak tercapai sebaliknya suspek bersama dua lagi rakan jenayahnya berjaya ditahan polis kerana terlibat dalam aktiviti pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, terdahulu pada 20 April lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang pemimpin gereja yang mendapati pusat ibadat mereka di Millenium di sini dipecah masuk.

Telefon bimbit yang dicuri oleh penjenayah yang dikatakan berniat membuka kedai untuk menjualnya kembali.

“Dalam laporan itu, pengadu memaklumkan premis berkenaan telah dipecah masuk dan beberapa alat muzik iaitu gitar elektronik, piano serta pembesar suara hilang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang petang ini.

Harris berkata, susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Penampang dengan kerjasama IPD Kota Kinabalu melakukan operasi khas memburu suspek dan berjaya menahan dua daripadanya pada 8 Mei lalu di sekitar Penampang.

Menurut beliau, soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu mendedahkan identiti suspek ketiga yang berjaya ditahan keesokan hari di rumahnya bersama kesemua peralatan muzik yang dirompak itu.

Sebahagian komputer riba yang dirampas polis.

“Selain peralatan muzik, polis turut menemukan 24 unit barangan lain iaitu telefon bimbit, tab dan laptop dalam simpanan suspek ketiga yang keseluruhan bernilai RM16,500.

“Suspek ketiga sebenarnya membeli kesemua barangan curi itu dari pelbagai sumber dan bercita-cita mahu membuka kedai telefon untuk menjualnya kembali,” kata Harris.

Menurut Haris, ketiga-tiga suspek warga tempatan dan berumur 30-an itu dikenali sebagai Geng Carlsten yang terlibat dengan kes pecah rumah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terlibat pecah rumah manakala suspek pertama dan kedua didapati mempunyai jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *