357 pegawai, anggota PPM Sabah bertugas sepanjang Ramadan, Aidilfitri

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SANDAKAN, 17 Mei – Seramai 357 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bertugas sepanjang bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri kali ini, kata Komandernya ACP Mohamad Pajeri Ali.

Beliau melahirkan penghargaan kepada pegawai dan anggota yang berkorban untuk memantapkan keselamatan di perairan negara demi keselesaan masyarakat menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Peranan PPM Wilayah 4 Sabah dalam penguatkuasaan undang-undang maritim dianggap lebih berat berbanding wilayah PPM lain.

“Saya berharap mereka yang bertugas pada hari lebaran dapat bergembira bersama rakan seperjuangan dalam penugasan yang juga mengorbankan masa untuk berjauhan daripada keluarga tercinta,” katanya kepada pemberita selepas program berbuka puasa di kapal PPM Sandakan berdekatan Pulau Bai kira-kira 2.5 batu nautika dari sini, malam tadi.

Bagi Lans Koperal Mohd Farid Abdul Rahman, 26, dari Teluk Intan, Perak, tahun ini merupakan kali ketiga beliau menyambut Aidilfitri ketika bertugas di perairan.

“Saya berterima kasih kepada isteri dan keluarga saya kerana memahami kerjaya saya untuk menjaga perairan negara.

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Sememangnya bertugas pada hari raya dan berjauhan daripada keluarga amat menyedihkan, namun saya bersyukur mempunyai rakan-rakan dalam PPM mengalami susah dan senang bersama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Risik dan Operasi PPM Sabah DSP Abdul Rahman Mat Hassan, 49, kenaikan pangkat kepada Superintenden dan akan memikul tugas baharu sebagai Timbalan Komander PPM Wilayah 5 Sarawak tidak memberikannya peluang untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.

Selepas 24 tahun bertugas di Sabah, yang mana peluang untuk pulang beraya di Kelantan juga amat tipis kerana komitmen tugas, beliau akan melapor diri di Kuching pada 24 Mei ini.

“Saya mengucapkan selamat bertugas kepada semua pegawai dan anggota PPM, khususnya di Wilayah 4 Sabah, lebih-lebih lagi yang menjaga perairan di ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah).

“Kita sedia maklum pernah berlaku insiden penculikan di perairan Sabah, namun sejak penubuhan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah), kawalan keselamatan di perairan dimantapkan lagi dengan gabungan PPM, Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Angkatan Tugas Bersama 2,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *