Harga pasang cermin gelap kekal

KUALA LUMPUR: Harga untuk pemasangan filem cermin gelap kenderaan di pasaran masih tidak berubah sekali pun mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna sejak minggu lalu.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat aksesori kereta di ibu negara mendapati rata-rata pengusaha kedai masih mengekalkan harga seperti sebelum kerajaan memperkenalkan peraturan baru cermin gelap pada 7 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sebelum ini mengumumkan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, bermula Rabu lalu.

Peraturan itu juga menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan kenderaan adalah 70 peratus manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu adalah 50 peratus.

Pengusaha kedai pemasangan lapisan filem cermin kenderaan, Ng Kang Shun, berkata, harga jualannya tidak meningkat sekali pun mendapat permintaan yang tinggi sejak minggu lalu.

“Walaupun mendapat permintaan yang tinggi, kami mengekalkan harga lama iaitu RM138 hingga lebih RM400 untuk sebuah kenderaan bergantung kepada jenis kereta dan filem digunakan bersama jaminan tiga hingga lima tahun.

“Namun apa yang ketara, kebanyakan pelanggan gemar memasang lapisan filem gelap sehingga 80 peratus pada cermin belakang berbanding cermin sisi penumpang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

PENGUSAHA memasang filem cermin gelap kenderaan yang mendapat permintaan tinggi pelanggan sejak minggu lalu.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha kedai aksesori kereta berkata, sebelum ini biasanya dia mendapat antara lima hingga tujuh pelanggan saja sehari untuk memasang memasang filem gelap.

“Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu, meningkat antara tujuh ke 12 pelanggan sehari namun ia tidak tetap walaupun berlaku peningkatan.

“Saya percaya, ini mempunyai kaitan dengan pengumuman Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, tetapi peniaga mengekalkan harga lama untuk menjaga perniagaan,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Mohd Amirul Aiman Mohd Azizi, 31, berkata, dia gembira dengan pengumuman kerajaan itu dan ia berlaku tepat pada waktunya untuk memasang cermin gelap.

“Kebetulan pula, saya dan isteri baru menimang cahaya mata sulung kami pada 29 April lalu jadi saya terus memasang cermin gelap untuk mengelakkan bahang cuaca panas.

“Untuk pengguna jalan raya yang mempunyai bayi dan anak kecil, ia membantu kami berasa lebih selesa dalam kenderaan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *