Tak sempat seludup diesel

Anggota PPM memberkas tiga lelaki bersama 1,800 diesel cuba diseludup. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,800 liter diesel yang disimpan dalam 67 bekas dan tiga tong dram susulan pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah lori tengah hari semalam.

Pemeriksaan itu dijalankan anggota PPM dengan bantuan Unit Risikan Marin (URM) menerusi operasi Op Landai di Batu 9, Jalan Labuk, di Sandakan, Sabah, jam 1 tengah hari.

Anggota PPM memberkas tiga lelaki bersama 1,800 diesel cuba diseludup. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Dalam operasi itu, tiga lelaki masing-masing dua warga tempatan berumur 43 tahun dan 51 tahun serta seorang warga asing berumur 30 tahun yang sedang memunggah bahan api itu ditahan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali, berkata bahan api itu dipercayai diseleweng untuk pasaran tempatan atau cuba diseludup ke negara jiran.

“Sindiket penyeludupan minyak menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sama. Namun atas kecekapan URM PPM, kami berjaya membanteras jenayah ini.

“Usaha membanteras kegiatan penyeludupan minyak ke negara luar sentiasa dilaksanakan dan kita juga meminta masyarakat sentiasa menyalurkan maklumat kepada PPM,” katanya dalam satu kenyataannya tadi.

Beliau berkata, rampasan dalam kes itu termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan suspek bernilai RM20,839.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 Kawalan Bekalan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *