Penagih bersembunyi menyerupai ‘Lembaga Hitam’ atas siling rumah

Suspek yang bersembunyi atas siling rumah ditahan AADK atas kesalahan menagih dadah dan tidak hadir ke mahkamah semasa diserbu di kediamannya di Kampung Kalansanan, Inanam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Usaha seorang penagih untuk bersembunyi bagi mengelak ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) gagal apabila pasukan serbuan melihat kelibat ‘lembaga hitam’ pada atas siling sebuah rumah di perkampungan atas air di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan Op Cegah yang dijalankan sekitar jam 1 pagi tadi, lelaki berumur 48 tahun itu difahamkan sudah berkali-kali berjaya meloloskan diri dengan terjun melalui tingkap rumahnya.

Seramai 17 individu dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk diperiksa. 15 daripadanya positif dadah jenis syabu termasuk empat wanita. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Operasi AADK Kota Kinabalu Lawrance Galleh berkata semasa pasukan serbuan memasuki rumah berkenaan bilik tidur suspek terkunci dari luar.

“Kita melakukan ‘cordoning’ dari luar rumah bagi memastikan suspek tidak terjun melalui tingkap.

“Pasukan serbuan kemudian melakukan pemeriksaan menyeluruh dalam rumah suspek dan salah seorang anggota melihat kelibat ‘lembaga hitam’ pada siling rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday selepas operasi dijalankan.

Menurut Lawrance, suspek kemudian dipujuk untuk menyerah diri dan tidak lama selepas itu suspek turun dari siling rumah lalu ditahan oleh AADK.

Antara penagih yang diperiksa secara rambang dan ditahan selepas positif ujian awal saringan air kencing semasa Op Cegah dijalankan sekitar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Suspek juga mempunyai waran tangkap kerana didapati tidak menghadirkan diri untuk perbicaraan kes terhadap dirinya di mahkamah,” tambahnya.

Dalam operasi yang bermula 10 malam dan berakhir empat jam kemudian itu, pihak AADK berjaya menahan seramai 17 individu termasuk empat wanita.

Antara penagih yang diperiksa secara rambang dan ditahan selepas positif ujian awal saringan air kencing semasa Op Cegah dijalankan sekitar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Daripada jumlah yang ditahan seramai 15 orang termasuk empat wanita berumur diantara 19 hingga 50 tahun didapati positif dadah jenis syabu selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan di lokasi serbuan dan di pejabat AADK Kota Kinabalu.” katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *