Dua import baharu perkuat Sabah

Datuk Peter Anthony (dua dari kiri) menyerahkan jersi skuad Tambadau kepada penyerang import baharu Sabah, Aguinaldo Mendes Veiga di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – NSTP/Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Sabah mengikat bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev bagi menggantikan Luka Milunovic dan Luiz Junior.

Perkara itu diumumkan pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, ketika menyaksikan sesi latihan pasukan di Stadium Likas, di sini, malam tadi. 

Datuk Peter Anthony (dua dari kiri) menyerahkan jersi skuad Tambadau kepada penyerang import baharu Sabah, Aguinaldo Mendes Veiga di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – NSTP/Ryan Stanley

“Kita harap dengan kehadiran dua pemain import baharu ini, ia akan memperkuatkan lagi pasukan terutama di bahagian serangan dan tengah,” kata Peter. 

“Pada mulanya, kita hanya mencari pengganti kepada Luka yang kembali ke pasukan asalnya Melaka United, namun selepas berbincang dengan pihak kejurulatihan dan pengurusan pasukan, kami membuat keputusan untuk turut menggantikan tempat Luiz.

“Kita perlukan penyudah yang lebih berkesan kerana kita sedar cabaran bagi menghadapi baki saingan liga nanti semakin mencabar.”

Peter berkata, Mendes dan Atayev sudah menandatangani kontrak selama setahun dengan SAFA dan dua pemain itu juga dijangka bakal membuat penampilan pertama pada aksi bertemu UKM FC di gelanggang lawan, Jumaat ini. 

Mendes, 30, yang memiliki ketinggian 1.86 meter, sebelum ini pernah beraksi untuk Ubon UMT dalam Liga Premier Thailand manakala kelab terakhirnya ialah Poli Lasi FC dalam saingan Liga Super Romania.

Sementara itu, Atayev yang memiliki ketinggian 1.85 meter pula sebelum ini beraksi bersama kelab Arema dan Persela dalam liga utama Indonesia dari tahun 2017 hingga 2019.

Dalam perkembangan sama, Peter turut mengumumkan kontrak penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi. 

“Prestasi Paunovic sebelum ini agak baik dan dia juga sudah serasi dengan pasukan, oleh sebab itu kami membuat keputusan untuk melanjutkan kontraknya setahun lagi,” katanya.  – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *