Anggota Cawangan Khas perlu perkenalkan diri

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, tidak ada isu mengenai anggota cawangan khas untuk menghadiri acara Parti Warisan Sabah (Warisan) atau majlis kerajaan tetapi mereka harus memperkenalkan diri mereka.

Bagi menjelaskan dakwaan bahawa pegawai dan anggota Cawangan Khas dihalang daripada menghadiri majlis parti atau kerajaan, beliau berkata bahawa syaratnya hanyalah mereka hendaklah memperkenalkan diri mereka.

“Kami tidak mahu ada orang yang hadir di majlis mendakwa bahawa mereka adalah wartawan. Ia akan mengelirukan,” katanya.

Junz berkata, mereka perlu memperkenalkan diri bahawa mereka dari PDRM dan bukan sebagai wartawan.

Katanya, ada kejadian apabila individu yang tidak dikenali menghadiri persidangan akhbar dan berpura-pura menjadi wartawan.

“Atas sebab ini, walaupun mereka adalah pegawai polis, adalah lebih baik diri mereka dikenali dan bukannya seolah-olah mereka adalah ahli media,” katanya.

Junz juga menafikan bahawa kes anggota Cawangan Khas yang dilarang menghadiri sidang akhbar yang dijalankan oleh pemimpin Warisan berlaku sepanjang masa, sebaliknya perkara itu ia hanya satu atau dua kali.

Pada masa yang sama, beliau berkata semua orang, termasuk Cawangan Khas adalah dialu-alukan menghadiri acara kerajaan dan Warisan.

“Ia bukannya menghalang sesiap daripada datang ke acara kami,” katanya.

Beliau berkata, sidang akhbar adalah acara khusus yang diadakan oleh kerajaan dan parti dari semasa ke semasa untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai rancangan kerajaan.

“Tidak ada rahsia dalam sidang akhbar, ia adalah untuk makluman awam,” katanya.

Beliau yang juga Adun Tanjung Aru berkata, isu itu adalah untuk mereka mengakui identiti mereka dalam acara yang mereka hadiri,” katanya.

Junz juga berkata pengamal media pada suatu ketika tidak mempunyai tempat untuk membuat liputan kerana tempat yang disediakan untuk media telah ambil oleh anggota Cawangan Khas.

“Beberapa media telah mengadu tetapi kerana kesopanan, mereka tidak meminta mereka yang bukan media mengosongkan tempat yang disediakan khusus untuk media.

“Pengamal media akhirnya berdiri atau meninggalkan majlis,” katanya.

Junz berkata, jika anggota itu datang dan memaklumkan kehadiran mereka kepada pegawai kerajaan atau parti perkara seperti itu dapat dielakkan dan ruang khusus boleh disediakan untuk mereka. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *