Buaya masuk kawasan pasar ikan Lahad Datu

Gambar buaya yang tular di media sosial dipercayai di Pasar Ikan Lahad Datu – Foto Ihsan Pembaca

TIADA kelibat dan tiada kesan tapak kaki buaya dikesan yang dapat mengaitkan kehadiran reptilia berkenaan di sekitar kawasan Pasar Ikan Lahad Datu, Lahad Datu.

Ia disebabkan longgokan sampah yang banyak di sekitar kawasan pasar berkenaan.

Gambar buaya yang tular di media sosial dipercayai di Pasar Ikan Lahad Datu – Foto Ihsan Pembaca

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, pemeriksaan dilakukan pada jam 8.30 malam, Jumaat lalu, berhubung dakwaan kehadiran tiga ekor buaya di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan tidak terdapat kelibat buaya dan tidak terdapat kesan tapak kaki haiwan berkenaan di sebabkan longgokan sampah yang banyak selain kawasan sekitar pasar ikan itu sangat kotor.

“Hasil maklumat awam mengatakan ada tiga ekor buaya berada pada waktu yang sama, namun hanya seekor saja buaya yang berjaya diambil gambar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya lagi, ini adalah kes kedua buaya naik ke darat berhampiran dengan pasar ikan itu iaitu pada 25 Disember tahun lalu apabila terdapat seekor buaya berada di jalan dekat Pasar Rakyat Lahad Datu.

“Buaya itu sering muncul berhampiran pasar ikan disebabkan terdapat sumber makanan seperti ikan yang buruk atau sebahagian daging ayam yang dibuang oleh peniaga ke laut.

Gambar buaya yang tular di media sosial dipercayai di Pasar Ikan Lahad Datu – Foto Ihsan Pembaca

“Untuk rekod, pada 2018 sebanyak tiga ekor buaya berjaya ditangkap dan dipindah ke kawasan pinggir laut sekitar bandar dengan menggunakan perangkap,” katanya.

Tambah beliau lagi, beberapa lokasi seperti Kampung Sabah Baru, Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC), kilang tepung, Pelabuhan, Hap Seng dan Jeti Marin adalah laluan utama haiwan reptilia itu.

“Ini adalah laluan untuk haiwan itu sampai ke kawasan laut bandar untuk mencari sumber makanan dan cuba untuk mengembangkan habitatnya di kawasan paya bakau yang terdapat di Bandar Lahad Datu yang menjadi sarang buaya sehingga kini.

“Bagaimanapun, pemantauan berkala terus dilakukan kerana buaya ini sering dilihat masyarakat awam dan pemasangan perangkap juga amat membantu bagi menangani isu itu,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *