Tiada gelombang haba di Sabah

MAKLUMAT kononnya gelombang haba berlaku di Sabah pada hari ini, yang menjadi viral di laman sosial Facebook dan WhatsApp. -Ihsan Media Sosial

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Sabah menjelaskan tiada gelombang haba berlaku di negeri ini, walaupun cuaca panas susulan kekurangan hujan sejak awal tahun ini.

Pengarahnya, Ambun Dindang, berkata orang ramai tidak harus mudah percaya dengan maklumat berkaitan cuaca jika sumbernya bukan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Setakat ini, Sabah belum ada gelombang haba walaupun cuaca panas disebabkan ketiadaan hujan. Maklumat yang menjadi viral itu yang kononnya Sabah mengalami gelombang haba pada hari ini tidak benar.

“Maklumat itu bukan daripada jabatan kami,” katanya ketika dihubungi BH di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai maklumat yang menjadi viral menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kononnya jam 12 tengah hari, hari ini, Sabah akan mengalami ‘heat wave’ yang teruk.

Mengulas lanjut, Ambun berkata, pihaknya menjangka suhu maksimum di Sabah sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius, namun masih pada tahap biasa suhu yang dicatatkan pada bulan ini dan tidak mengakibatkan gelombang haba.

“Cuaca panas yang dialami sekarang normal dengan suhu maksimum di Sabah dalam lingkungan 32 hingga 35 darjah Celsius

“Jika kriteria gelombang haba dicapai, jabatan akan mengeluarkan nasihat gelombang haba. Tetapi buat masa sekarang, Sabah tiada mengalami gelombang itu. Saya juga mohon supaya orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkenaan cuaca boleh melayari laman sesawang kami di www.met.gov.my atau muat turun aplikasi mudah alih myCuaca kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ambun berkata, negara sedang mengalami musim Monsun Barat Daya yang secara relatifnya lebih kering, berbanding dengan monsun lain seperti Monsun Timur Laut pada bulan November hingga Mac dan musim peralihan monsun pada April hingga awal Mei. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *