Kemenangan saya hadiah buat bapa – Shir Yee

Ahli Parlimen Sandakan baharu, Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama ibunya Datin Chong Mee Fook (kanan) dan Setiausaha Agung DAP ketika sidang media selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: “Perkara pertama saya akan lakukan esok pagi adalah melawat kubur mendiang bapa saya. Kemenangan saya adalah hadiah buat bapa saya,” kata Vivian Wong Shir Yee berikutan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Shir Yee berkata, kemenangan itu adalah hasil didikan bapanya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, selain sokongan padu pengundi di Parlimen berkenaan yang sebelum ini adalah penyokong bapanya.

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (empat, kiri) mengangkat tangan tanda gembira selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan beliau dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini.Turut sama Penasihat DAP Lim Kit Siang (dua, kanan).– – Foto BERNAMA

“Saya sangat bertuah kerana memiliki seorang bapa yang mengajar saya mengenai peranan ahli politik dan menjadi wanita muda yang kuat. Tanpa dia (Tien Fatt), saya tidak akan berada di sini.

“Terima kasih juga kepada semua pengundi kerana percaya saya boleh berkhidmat untuk rakyat dan saya berjanji untuk membuktikan keupayaan saya sebagai Ahli Parlimen dalam tempoh empat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Sandakan di pusat penjumlahan rasmi undi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di sini, sebentar tadi.

Shir Yee turut mengucapkan penghargaannya kepada pemimpin peringkat pusat dan negeri serta pemimpin parti lain yang membantu sepanjang kempen berlangsung bermula 27 April lalu.

Katanya, beliau terharu dengan dedikasi semua pemimpin termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang beberapa kali datang ke Sandakan bagi membantu kempennya.

“Sebagai permulaan (menjadi Ahli Parlimen), saya akan membawa kertas kerja mengandungi perancangan saya untuk membangunkan Sandakan untuk dikemukakan di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, ibu Shir Yee, Datin Florence Chong, berkata kemenangan dengan majoriti besar yang diperoleh anak bongsunya itu menyembuhkan ‘luka’ selepas kehilangan mendiang suami.

Katanya, kemenangan Shir Yee itu menunjukkan rakyat Sabah khususnya pengundi di Sandakan, menghormati dan menyayangi mendiang suaminya sehingga masih menyokong Shir Yee dalam PRK berkenaan.

“Malam ini amat membanggakan saya. Saya rasa suami yang sedang ‘berehat’ di syurga juga akan lebih tenang kerana keputusan diberikan rakyat,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *