Cermin gelap: Polis akur, hormati keputusan kerajaan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman DCP Datuk Azisman Alias

KUALA LUMPUR: Polis akur dan menghormati keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan peraturan baharu membabitkan cermin gelap kenderaan berkuat kuasa kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata ketika ini pihaknya berhubung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari semasa ke semasa bagi memastikan penugasan anggota trafik dapat dilakukan dengan lancar.

Katanya, sebarang cadangan dan maklum balas akan dimaklumkan kepada JPJ jika mempunyai keperluan.

“Kita akur, hormati apa juga keputusan menteri (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke).

“Polis akan menjalankan tugas macam biasa, saya memberi perhatian tugas anggota dan pegawai trafik yang berhadapan dengan kenderaan di jalan raya setiap hari.

“Perkembangan, maklum balas dan masalah berbangkit boleh dibincang dengan JPJ dari semasa ke semasa untuk membaiki penugasan (anggota trafik),” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan juadah berbuka puasa kepada anggota JSPT Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan peraturan baharu itu kekal walaupun mendapat tentangan beberapa pihak termasuk polis.

Loke dilaporkan berkata keputusan itu juga bersandarkan kepada maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap pada Jun 2014.

Peraturan baharu itu membabitkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

“Rumusan bengkel berkenaan untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing pada kadar 70 peratus serta 50 peratus masih dikekalkan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *