UMNO jangka PRU-15 tahun depan


MOHAMAD Hasan berucap ketika majlis Santai Bersama Pemimpin pada kempen PRK Parlimen Sandakan di Letat Jaya.

SANDAKAN: UMNO kini menumpukan usaha menyusun strategi dalaman untuk mentadbir semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuma bertahan dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun depan kerana rakyat semakin tidak selesa, hidup tertekan dan percaya jika keadaan itu berterusan, rakyat akan mendesak kerajaan menjalankan PRU-15.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga yang mendakwa kenal lama dan tahu ‘gaya’ Tun Dr Mahathir Mohamad, percaya Perdana Menteri tidak akan menyerahkan jawatan berkenaan kepada bakal penggantinya.

Biarpun tidak menyatakan nama ‘bakal Perdana Menteri’ itu, Mohamad dipercayai merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia (Mahathir) tak akan bagi (jawatan) kepada bakal Perdana Menteri. Saya tahu kerana saya kerja dengan ‘atuk’ (Mahathir). Dia akan bubar Parlimen untuk pilih kerajaan baharu. Sebab itu, kita kena susun strategi baik-baik.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan ini cukup sekadar kita beri isyarat tak puas hati terhadap prestasi kerajaan PH.

“Kita yakin dengan kerjasama blok parti pembangkang tempatan, kita boleh menang di kerusi ini seperti yang berlaku apabila UMNO dan PAS bekerjasama dalam PRK di Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau,” katanya berucap pada ceramah umum di Bandar Letat, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mohamad yang juga pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, antara strategi UMNO adalah memberikan kuasa autonomi penuh kepada UMNO Sabah supaya boleh diurus kepemimpinan negeri itu dan mempunyai entiti sendiri sebagai parti nasional serta parti tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan parti itu di negeri ini.

Katanya, antara strategi lain juga adalah menjalinkan kerjasama dengan rakan dalam blok pembangkang antara UMNO dan PAS di Semenanjung, manakala UMNO Sabah dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa parti tempatan yang lain di negeri ini.

“Kita juga akan buka pintu parti seluasnya kerana kita bukan lagi parti kerajaan, tidak sepatutnya mengongkong orang daripada menjadi ahli parti,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, PRK Parlimen Sandakan bukanlah persaingan PH dan UMNO-PAS seperti dakwaan Anwar kerana yang bertanding adalah PBS dan blok pembangkang sudah mencapai persetujuan awal untuk membantu PBS sebagai parti pembangkang.

“Pada kali ini, PBS bertanding, kita bantu PBS sebagai parti pembangkang. Boleh jadi kalau ada PRK di Sabah lagi, UMNO bertanding, kita harap PBS dan parti lain bantu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *