‘Tarzan’ Dicekup AADK

Penagih dadah separuh bogel berjaya dicekup oleh AADK selepas cuba meloloskan diri ketika menjalani saringan ujian saringan air kencing. – Gambar SNT/Ihsan AADK

KOTA MARUDU: Seorang suspek penagih dadah yang melarikan diri dalam keadaan separuh bogel ditangkap anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Cegah di Kampung Sumbilingon, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, lelaki berumur 37 tahun terbabit dikejar anggota AADK sejauh hampir 50 meter selepas bertindak melarikan diri ketika sedang menjalani ujian saringan air kencing. 

Terdahalu, sepasukan penguatkuasa AADK Sabah dan AADK Daerah Kudat membuat serbuan di rumah lelaki terbabit untuk menahan suspek yang berusia bersama dua beradik yang lain hasil aduan dan makluman orang awam.

Pemeriksaan di beberapa buah rumah dijalankan dalam Op Cegah sekitar Kota Marudu.G – ambar SNT/Ihsan AADK

Ketua Pegawai AADK Kudat Fazilawati Aji berkata semasa penguatkuasa membuat pemeriksaan hanya suspek bersama anak dan isteri berada dalam rumah ketika itu.

“Suspek memaklumkan dia tidak dapat bergerak kerana menghidap penyakit gout. Oleh itu, kita arahkan dia untuk menjalani ujian saringan air kencing secara ‘on-the-field’ di luar rumah.

“Dia yang hanya bertuala ketika itu menuruti arahan yang diberikan dan sukar untuk bergerak ke luar rumahnya. Tidak lama kemudian, dia dilihat mencampakkan tuala dan berlari laju dalam keadaan separuh bogel sebelum berjaya dicekup semula oleh pasukan Charlie dalam kawasan lalang sejauh 50 meter,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday.

Antara suspek yang ditahan semasa Op Cegah dijalankan sekitar Kota Marudu. – Gambar SNT/Ihsan AADK

Menurut Fazilawati, tindakan itu hanya sia-sia kerana penguatkuasa AADK sudah bersiap sedia untuk menghadapi situasi seperti ini setiap kali operasi dijalankan.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pegawai serta anggota yang berjaya mengejar dan menahan suspek,” tambahnya.

Lelaki terbabit antara lapan penagih yang ditahan dalam operasi selama lima jam membabitkan lima kampung di Kota Marudu.

Operasi yang digerakkan oleh AADK Daerah Kudat dibantu AADK Negeri Sabah ini berjaya menahan seramai 13 lelaki disyaki penagih dadah dan hasil saringan awal air kencing didapati lapan daripada itu positif dadah jenis syabu.

Kesemua suspek berusia 22 hingga 60 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Operasi yang diketuai oleh Panduan Paglin bersama 12 pegawai dan anggota itu berakhir pada jam 5 pagi. Operasi juga turut disertai oleh Penolong Pengarah Unit Penguatkuasaan Dan Keselamatan AADK Sabah, Joanes Yabin.

Dalam pada itu, Fazilawati juga turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *