Pelancong Korea kedua teramai di Sabah

Christina (empat dari kiri) terima cenderahati daripada Sang Bong selepas sidang media mengenai penerbangan terus Air Busan dari Daegu dan Busan ke Kota Kinabalu. Foto Olivia Miwil

SABAH menerima kedatangan lebih sejuta pelancong dalam suku pertama tahun ini dengan peningkatan 9.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, jumlah itu mewakili 25 peratus daripada empat juta pelancong yang disasarkan kerajaan negeri datang ke Sabah pada tahun ini.

“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 82,074 pelancong itu adalah dari Korea dan menjadikannya pasaran kedua terbesar ketibaan antarabangsa ke Sabah selepas China.

“Dalam beberapa hari lagi, Sabah akan menerima dua penerbangan sulung secara terus dari Korea Selatan sekali gus menjadikan sebanyak 48 penerbangan terus dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu dalam seminggu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian ketika sidang media mengenai penerbangan terus dari Daegu dan Busan, Korea Selatan ke Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Ken Pan, Pengarah Tourism Malaysia negeri Jamilah Abdul Halim, Pengurus Cawangan Air Busan Jung Sang Bong dan Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sunif Naiman.

Penerbangan sulung dari Daegu itu dijadualkan mendarat di KKIA pada 15 Mei ini dan selepas itu beroperasi pada setiap Isnin, Khamis, Jumaat dan Ahad.

Bagi penerbangan terus dari Busan, penerbangan sulung dijadual tiba pada 22 Mei ini.

Sementara itu, Sang Bong berkata, antara faktor menarik minat pelancong Korea ke Sabah ialah kerana keindahan pemandangan matahari terbenam dan aktiviti lautnya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *