Sabah daki tangga kedua Liga Perdana

PEMAIN Sabah, Rodoljub Paunivic (kiri) melakukan jaringan pertama bagi Pasukan Sabah, menewaskan penjaga gol Selangor United, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz, pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting.

KOTA KINABALU: Sabah kembali merampas kedudukan kedua Liga Perdana apabila menang tipis 1-0 terhadap Selangor United di Stadium Likas, di sini, malam tadi. 

Pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol apabila Rodoljub Paunovic menyepak masuk tandukan Alto Linus seawal minit ke-6 dan ia menjadi satu-satunya jaringan pada aksi berkenaan. 

Skuad dengan julukan Tambadau hampir memperoleh gol kedua empat minit berselang namun tandukan Park Taesu hasil sepakan sudut Mohd Azzizan Nordin terkena tiang. 

Pada minit ke-13, giliran Luis Carlos Junior memiliki peluang, bagaimanapun, cubaannya hasil hantaran Alto dihalang penjaga gol Selangor United, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz. 

Skuad kendalian Talib Sulaiman itu kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol Sabah pada minit ke-34 menerusi cubaan Nikita Olegovich Pavlenko, bagaimanapun, sepakannya itu sekadar menggegarkan tiang walaupun penjaga gol Rozaimie Rohim sudah pun tertewas. 

Selangor United dilihat lebih garang di awal permainan pada babak kedua namun masih gagal menembusi benteng pertahanan Sabah yang dikemudi Rawilson dan Taesu. 

Pada minit ke-56 cubaan Paunovic dari dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol dan selang beberapa minit selepas itu, Selangor United pula memiliki peluang namun rembatan Nikita terus ke dakapan Rozaimie. 

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi tandukan Raslam Khan Abd Rashid namun ia sekadar singgah di palang gol Sabah. 

Di masa tambahan perlawanan, Azzizan hampir menambah jaringan buat Sabah namun cubaannya sempat ditepis penjaga gol lawan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat. 

Kemenangan itu menyaksikan Sabah memintas UiTM FC yang tewas 0-1 kepada Terengganu FC II, semalam. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *