Nasir Search selamat diijabkabul


NASIR menyarungkan cincin ke jari Noraziah. FOTO Zain Ahmed

DENGAN hanya sekali lafaz, pemain bass kumpulan rock lagenda Search, Nasir Daud, 60, sah bergelar suami kepada Noraziah Saadon, 48.

Pasangan berkenaan diijabkabulkan Kadi Daerah Johor Bahru, Zulkifli Mohamed di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Aras 2, Blok B, Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, 11.30 pagi.

Majlis turut membabitkan enam pasangan lain diijabkabulkan pada hari sama, sebelum pengantin lelaki membaca lafaz taklik di depan 10 minit kemudian.

Nasir, menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan wang hantaran sebanyak RM50,000.

Kedua-dua pasangan bagaikan merpati dua sejoli dilihat bersyukur sebaik pernikahan selesai sambil Noraziah, mengesat air mata sejurus sah sebagai isteri Nasir.

Pasangan itu diiringi keluarga masing-masing, dengan Nasir memakai jubah manakala Noraziah yang juga pegawai di Pejabat RISDA Johor Bahru, berbaju kebaya merah dan tudung krim.

Ketika ditemui Nasir, meluahkan rasa syukur pernikahannya bersama pasangan berjalan lancar dan berdoa supaya ia kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya bersyukur semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, malah tidak mengambil masa lama untuk diijabkabulkan.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Allah dan mendapat kerjasama semua pihak,” katanya.

Menurutnya, dia yang bernikah kali kedua berharap bahtera rumah tangga dibina bersama isterinya kekal hingga ke akhir hayat.

Ditanya perasaannya ketika diijabkabul Nasir berkata, dia tidak berdebar kerana tidak ada apa-apa yang mengganggunya dan semuanya berjalan dengan baik.

Majlis persandingan pasangan itu berlangsung di sebuah restoran di Bandar Baru Uda,

bermula 12 tengah hari.

Sementara itu, Noraziah berkata, sifat lembut dan bertanggungjawab Nasir membuka hatinya dan mengimpikan ia pernikahan terakhir buatnya.

Katanya, dia berkenalan dengan suaminya itu selama setahun selepas dipertemukan adik perempuan Nasir yang juga sahabat baiknya.

“Nasir sangat lemah lembut termasuk daripada segi tutur katanya, malah rakan artis juga mengakui sikapnya itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak terus bersetuju dengan hasrat ahli kumpulan Search itu untuk mendirikan rumah tangga kerana perlu menjaga hati banyak pihak.

“Bagaimanapun, mungkin ini jodoh saya dan saya terima selepas mendapat ‘restu’ keluarga kedua-dua pihak,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *