Masyarakat Sandakan harap ruang letak kereta di hospital ditambah

SANDAKAN, 4 Mei – Masyarakat di Sandakan menaruh harapan agar Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini dilengkapi dengan ruang meletak kenderaan yang mencukupi berikutan ruang sedia ada tidak mampu menampung jumlah kenderaan pengunjung terutamanya pada waktu pagi.

Ketika ditemui Bernama di sini hari ini, pesara kerajaan yang kini bekerja sebagai pemandu teksi, Jumat Jarudun, 61, berkata memang sukar untuk mendapatkan ruang meletak kenderaan di hospital itu terutamanya di sebelah pagi.

“Pernah juga pakcik nampak pelajar sekolah memandu dan meletak kenderaan di situ. Mungkin juga sekarang sudah ramai yang mempunyai kenderaan,” katanya.

Michelle Chin, 45, yang perlu membawa ibunya ke hospital pada setiap Jumaat untuk mendapatkan rawatan,  mengakui sentiasa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan ruang meletak kenderaan.

“Sebelum ini kawasan tempat meletak kenderaan itu sudah dibesarkan sedikit tetapi masih tidak mencukupi,” katanya.

Pada 23 Feb lepas, penyandang kerusi Parlimen Sandakan yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dalam kenyataan media memaklumkan Menteri Kewangan  Lim Guan Eng telah meluluskan peruntukan berjumlah RM128 juta untuk pelaksanaan tiga projek di Sandakan.

Projek itu termasuk membaik pulih bangunan lama hospital itu dengan kos RM8 juta dan projek itu kini dalam proses menyiapkan dokumen tender yang dijangka dimulakan pada Mei ini.

Hospital itu yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari pusat bandar dibina di atas tanah berkeluasan 17.37 hektar manakala kawasan bangunan hospital seluas 2,245.3 meter persegi.

Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan jabatan radiologi, perkhidmatan ultrasound, perkhidmatan CT Scan dan perkhidmatan fluroscopy.

Dibina sejak 1952, hospital itu kini dilengkapi 400 katil dan mempunyai 40 doktor pakar, 190 doktor perubatan dan farmasi serta 563 jururawat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *