PRK Sandakan: Polis terima 5 laporan

BENDERA parti yang dipasang sepanjang Jalan Buli Sim-Sim sempena PRK Parlimen Sandakan. FOTO Khairull Azry Bidin

POLIS menerima lima laporan berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, dua kertas siasatan sudah dibuka setakat ini berkaitan ceramah tanpa permit dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta perbuatan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, tiga lagi laporan dirujuk kepada majistret.

“Sepanjang kempen ini juga, sebanyak 65 permit untuk melakukan ceramah sudah dikeluarkan sehingga kini.

“Jumlah keseluruhan ceramah yang diadakan sehingga kini adalah sebanyak 26 ceramah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azhar turut mengingatkan kepada semua calon agar bertanding dalam PRK itu agar tidak melakukan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang serta peraturan pilihan raya.

Katanya, ia termasuklah pemberian hadiah, aktiviti perjamuan, penggunaan kemudahan, aset dan program kerajaan serta aktiviti kempen berunsurkan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.

“Selain itu, calon yang bertanding hanya dibenarkan membuat ceramah atau perhimpunan selepas mendapat kelulusan permit oleh pegawai polis yang menjaga daerah.

“Mereka juga tidak dibenarkan memakai atau menggunakan logo parti yang tidak bertanding dan berkempen di luar kawasan Parlimen Sandakan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *