Lajim wakil agensi kerajaan, bukan parti politik – SPR

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Lajim Ukin sebagai pemerhati pilihan raya semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan tidak mewakili parti politik yang dianggotainya.

Sebaliknya, beliau mewakili kategori agensi kerajaan yang berkelayakan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun.

Agensi kerajaan yang dimaksudkan ialah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata demikian mengulas kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada Ahad yang mempersoalkan keperluan SPR melantik Lajim, yang merupakan seorang ahli politik, sebagai pemerhati pada hari tersebut.

Katanya, SPR telah menetapkan beberapa kriteria untuk seseorang dilantik sebagai pemerhati.

Selain mewakili agensi kerajaan yang berkelayakan, pemerhati juga boleh mewakili badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi berkelayakan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai syarikat tidak berorientasikan keuntungan.

Pemerhati juga perlu menepati ciri-ciri berikut:

– Warganegara Malaysia yang berkemahiran dan dapat menyumbang kepada penambahbaikan proses pilihan raya;
– Melaksanakan aktiviti yang dekat dengan masyarakat;
– Bersikap berkecuali; dan
– Mematuhi Kod Etika dan Akujanji Pemerhati Pilihan Raya.

Azhar berkata, dalam pemilihan dan pelantikan pemerhati pilihan raya SPR, kelayakan permohonan individu ataupun organisasi yang memohon akan dinilai mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Tambahnya, SPR juga turut menyediakan ‘Aku Janji’ untuk ditandatangani oleh pemerhati dan ia merupakan ikrar yang perlu dipatuhi semasa bertugas.

“Jika terdapat pemerhati yang tidak mematuhi dan melanggar Aku Janji berkenaan, mereka boleh digugurkan dan boleh disenarai hitamkan dari menjadi pemerhati pada mana-mana pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Azhar, SPR sentiasa peka dengan isu pelantikan pemerhati pilihan raya yang dibangkitkan BERSIH 2.0 serta pihak berkepentingan yang lain.

“SPR akan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mengkaji semula kriteria pemilihan bagi pemerhati pilihan raya setelah menerima maklumbalas dari pihak berkepentingan yang relevan,” katanya.

Pada Ahad, BERSIH 2.0 meminta SPR memperjelaskan pelantikan Lajim sebagai pemerhati memandangkan beliau merupakan bekas presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Pengerusi BERSIH 2.0 Thomas Fann berkata, pihaknya berpendapat pemerhati pilihan raya sepatutnya individu atau organisasi yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik termasuk daripada parti yang sedang bertanding.

Menurutnya, ia selaras dengan piawaian ditetapkan Deklarasi Prinsip Global untuk pemerhati dan pemantauan pilihan raya non-partisan oleh organisasi sivil (Suruhanjaya Venice).

Thomas juga berkata, SPR perlu memberi penjelasan berhubung polisinya dalam menentukan sama ada ahli politik yang aktif boleh menjadi pemerhati untuk SPR atau tidak, serta prosedur operasi standard (SOP) untuk membatalkan permohonan menjadi pemerhati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *