Upko ingin pulangkan wang RM1 juta tetapi akaun dibekukan


Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU: Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hari ini mengesahkan akaun parti berkenaan telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akaun Upko dibekukan sejak kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya sambil menambah pembekuan tersebut adalah berikutan siasatan SPRM terhadap wang RM1 juta yang diterima Upko daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Madius yang juga adalah Timbalan Ketua Menteri, Upko tidak pernah membelanjakan wang tersebut.

“Ianya sepatutnya digunakan bagi program Jalinan Kasih tetapi tidak dapat dijalankan memandangkan jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi jikalau kita ikut cara bagaimana Umno menjalankan program tersebut.

“Oleh itu, wang tersebut kita simpan dalam akaun simpanan tetap parti,” ujar Madius.

Beliau juga berkata ada memberitahu SPRM bahawa beliau boleh mengembalikan wang tersebut dengan menggunakan cek sekiranya akaun parti tidak lagi dibekukan.

“Bagaimanapun, SPRM enggan berbuat demikian. Maka itu Upko terpaksa mencari jumlah yang sepatutnya dikembalikan melalui sumber lain,” katanya.

Dengan pembekuan akaun parti, katanya Upko terpaksa meneruskan operasi secara ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Berdasarkan kepada laporan mahkamah sebelum ini, Upko adalah antara 15 penerima cek berjumlah RM10.77 juta yang dikeluarkan dibawah dua akaun bank milik Najib.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *