Peruntukan RM80 juta bagi pembesaran lapangan terbang Sandakan: Frankie

SANDAKAN: Cadangan pembesaran projek Lapangan Terbang Sandakan merupakan strategi terbaik dalam membangunkan serta meningkatkan ekonomi rakyat Sandakan khususnya dalam sektor pelancongan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata projek itu boleh direalisasikan tidak lama lagi berikutan kerajaan persekutuan sudah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM183 juta bagi membiayai 49 projek pembangunan di Sandakan tahun ini.

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

Katanya ini termasuk RM80 juta diluluskan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan yang dijangka mampu melonjakkan ekonomi penduduk di daerah Sandakan.

“Apabila siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kita yakin jumlah pelancong berkunjung ke Sandakan akan meningkat sekaligus ia mampu menjana ekonomi rakyat di Sandakan.

“Kita mahu pengundi di Sandakan terus mengundi serta memberi sokongan kepada Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee bagi memastikan perancangan serta pembangunan ekonomi di kawasan itu dapat diteruskan di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah umum di Singapore Road Sandakan, di sini malam tadi.

Frankie yang juga Wakil Rakyat Kawasan Tanjung Papat berkata Vivian adalah calon yang sangat tepat serta pilihan tepat kepada orang muda serta mampu bekerjasama dengan baik kepada semua pihak.

Sementara itu dalam majlis sama, Calon DAP Vivian Wong Shir Yee berkata pembesaran lapangan terbang sandakan memang sangat dinantikan khususnya kepada pengusaha sektor pelancongan di daerah Sandakan.

Vivian Wong. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Sudah tentu pembesaran lapangan terbang ini merancakkan lagi sektor pelancongan sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan perindustrian di kawasan Sandakan,” katanya.

Vivian menambah ini sekaligus mampu mengurangkan penghijrahan golongan belia bekerja ke daerah lain serta mengubah persepsi orang ramai melihat Sandakan sebagai Kampung Orang Tua.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *