Pengemis kantoi ada kaki


HELAH pengemis terbongkar selepas mendapati dirinya berkaki. FOTO/AGENSI

JAKARTA: Sebuah rakaman video tular di media sosial menunjukkan anggota tentera membongkar penipuan seorang pengemis yang kononnya tidak berkaki.

Tribun News melaporkan, video itu dimuat naik ke akaun Facebook, Pesan Bunda, pada Selasa minggu lalu, tetapi tetap popular kerana masih dikongsikan.

Dalam video sepanjang lima minit itu, seorang pengemis yang nampak seperti tidak berkaki dilihat duduk di atas jalan sambil menggalas beg.

Beberapa anggota tentera dilihat menghampirinya, dan orang yang merakam video itu didengar berkata: “Ada kan kakinya? Boleh buka-buka. Cakap jujur saja.”

Rakannya didengar ketawa sebelum pengemis itu selepas didesak akhirnya mengakui kecacatannya diada-adakan. Anggota tentera berkenaan kemudian memujuknya mengeluarkan kakinya dan berjanji memberinya wang.

Kumpulan itu berjaya mengesan pengemis berkenaan sebenarnya memakai lima lapis seluar, malah selepas semuanya dibuka kakinya yang sempurna dapat dilihat. Susulan itu, mereka didengar menasihatkan pengemis itu supaya berhenti menipu seperti itu sambil menyerahkan sedikit wang seperti dijanjikan.

“Kamu masih sihat, masih boleh bekerja. Kakimu masih lengkap. Jangan diulangi lagi,” kata seorang anggota tentera berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *