Pengalaman Linda mampu jadi suara rakyat Sandakan di Parlimen

 Linda, Maximus serta para pemimpin PBS pada hari penamaan calon PRK Sandakan di Sandakan kelmarin.
YAKIN: Linda, Maximus serta para pemimpin PBS pada hari penamaan calon PRK Sandakan di Sandakan.

SANDAKAN: Datuk Linda Tsen Thau Lin yakin pengalamannya pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi selama lapan tahun dapat membantu membawa suara rakyat Sandakan kepada kerajaan pusat.

Beliau yang dipilih sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan mempunyai pengalaman yang luas dalam merencanakan serta merancang keperluan rakyat di samping pernah dipilih mewakili negara ke beberapa persidangan antarabangsa semasa menjadi ahli parlimen.    

Beliau yang pernah menjadi calon pada PRK Batu Sapi pada tahun 2010 berkata pengalaman menghadapi PRK Sandakan adalah kali kedua yang disifatkan sebagai luar biasa.

Anak jati Sandakan ini melihat peluang untuk mewakili rakyat di sini adalah cerah berdasarkan sokongan rakyat Sandakan, ahli PBS akar umbi serta lima parti pembangkang iaitu UMNO, MCA, STAR, SAPP dan USNO.

Linda yang juga naib presiden PBS dan ketua bahagian PBS Elopura yakin rakyat Sandakan menginginkan parti tempatan mewakili mereka serta mempunyai pengalaman luas dalam menyuarakan kehendak dan inspirasi rakyat Sandakan itu sendiri.

Katanya, rakyat Sandakan inginkan suara mereka disampaikan kepada kerajaan pusat yang tidak menunaikan janji-janji semasa pilihan raya umum lalu.

“Saya mahu mewakili rakyat di tempat kelahiran saya sendiri bagi menabur bakti kepada rakyat Sandakan serta menjadi suara mereka di parlimen kelak,” katanya.

Beliau berharap agar rakyat Sandakan mengundinya pada pilihan raya kali ini yang mewakili parti tempatan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PBS yang memberinya peluang menjadi calon PRK Parlimen Sandakan.

“Saya juga amat terharu dengan sokongan rakan-rakan serta pemimpin parti pembangkang lain terdiri daripada UMNO, MCA, STAR, SAPP dan USNO, yang memberi sokongan padu kepada saya,” katanya.

Linda telah diiringi oleh Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili serta para pemimpin tertinggi parti, para pemimpin lima parti pembangkang berkenaan dan penyokong ke pusat penamaan calon. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *