Beri peluang kepada belia, kata Wong

 Vivian Wong (kanan) menyampaikan ceramah ketika berkempen menjelang PRK Parlimen Sandakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni semalam. — Gambar Bernama
UNTUK RAKYAT: Vivian Wong (kanan) menyampaikan ceramah ketika berkempen menjelang PRK Parlimen Sandakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Malaysia memerlukan pemimpin muda untuk memastikan kelangsungan kepimpinan negara pada masa hadapan, kata calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Beliau berkata jika belia diberi peluang sekarang, golongan itu pasti akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas demi kebaikan rakyat dan negara.

“Golongan muda adalah masa depan kita, dan kita perlu memanfaatkan khidmat mereka sekarang untuk memberi harapan dan membina sebuah Sandakan yang dinamik,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Sandakan di sini malam kelmarin.

Wong, 30, anak kepada penyandang kerusi Parlimen Sandakan mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, berkata walaupun masih muda, beliau menganggap mempunyai pengalaman lebih daripada mencukupi setelah berkecimpung dalam arena politik selama lapan tahun menerusi DAP dan membantu bapanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Kita mesti meneruskan semangat mendiang bapa saya, selalu turun padang dan mendengar masalah rakyat.

“Jika anda (pengundi Sandakan) memilih saya, undi anda bukan sahaja untuk saya, tetapi kepada semua termasuk belia dan akan memberi harapan baharu kepada seluruh rakyat di Sandakan,” katanya.

Wong yakin kerajaan baharu mempunyai kemampuan mengubah negara ke arah lebih baik, termasuk dari segi pembangunan ekonomi di Sandakan.

Beliau berpendapat kerajaan Pakatan Harapan berjaya melakukan banyak usaha untuk rakyat dalam tempoh singkat, tidak sampai tempoh setahun berbanding lebih 60 tahun ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Ramai orang bercakap bahawa Sandakan umpama ‘kampung orang tua’ dan bertanya sama ada Sandakan akan terus membangun.

“Kita mahu lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dan sekarang pembesaran landasan lapangan terbang Sandakan akan dilaksanakan tahun ini yang akan merancakkan sektor pelancongan Sandakan,” katanya.

Ibu Wong, Datin Florence Chong Mee Fook pula berharap dapat melihat hasrat mendiang suaminya terlaksana dengan pemilihan anaknya sebagai ahli Parlimen Sandakan pada 11 Mei depan.

Antaranya ialah penyampaian kasut sekolah kepada pelajar miskin di beberapa sekolah di Sandakan pada Jun ini.

“Saya berjanji dengan mendiang suami untuk bersama-samanya menyampaikan kasut sekolah kerana mahu melihat kegembiraan anak-anak Sandakan. Malangnya, suami saya pergi dulu dan hasrat itu tidak kesampaian.

“Saya berharap pengundi di Sandakan akan mengekalkan undi mereka kepada mendiang Stephen Wong dengan mengundi anak kami,” katanya.

Chong mengakui terlalu sedih selama beberapa hari susulan kematian Stephen Wong dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Namun, beliau berterima kasih kepada anggota DAP, terutama DAP Keningau serta anaknya kerana  menyedarkannya untuk menguatkan semangat demi rakyat di Sandakan yang sentiasa disayangi mendiang suaminya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *