Tarikan ‘Ayo Mama’ dalam kempen Shir Yee


Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan Vivian Wong Shir Yee (duduk, kiri) bertanyakan sesuatau kepada sekumpulan remaja ketika mengadakan tinjauan mesra di bandar Sandakan sempena kempen PRK Parlimen P186 Sandakan hari ini. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Dendangan lagu berjudul ‘Ayo Mama’ menjadi antara tarikan pada hari pertama kempen calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Pasar Malam Kim Fung, petang semalam.

Lagu berasal dari Indonesia itu dengan liriknya diubah suai oleh Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang, menarik perhatian pengunjung dan peniaga pasar malam terbabit apabila dinyanyikan sendiri oleh Jannie serta beberapa ahli Wanita DAP yang menyertai tinjauan mesra berkenaan.

Ketika ditemui, Jannie yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, lagu itu dinyanyikan pada setiap hentian jelajah Wanita DAP Sabah sebagai pendekatan untuk menarik sokongan, terutama kaum Hawa.

“Lagu ini memberi inspirasi kepada wanita dan menyanjung mereka. Kita akan menyanyikannya dalam mana-mana program atau tinjauan mesra sepanjang tempoh kempen ini,” katanya.


Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersalaman dengan penduduk ketika mengadakan tinjauan mesra di bandar Sandakan sempena kempen PRK Parlimen P186 Sandakan semalam. – Foto BERNAMA

Dalam tinjauan mesra itu, Shir Yee meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dengan pengunjung dan peniaga di pasar malam berkenaan.

Sementara itu, tinjauan mendapati bendera DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mula berkibaran di sepanjang jalan antara Bandar Letat hingga pusat bandar, di sini, bagi kempen PRK Parlimen Sandakan.

Selain bendera, papan iklan yang memaparkan Shir Yee dan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin, turut dipasang.

Pertandingan lima penjuru pada PRK kali ini bakal menyaksikan Shir Yee bertembung dengan Thau Lin yang juga Naib Presiden PBS dan tiga calon Bebas membabitkan bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah; bekas pengurus operasi syarikat perladangan kelapa sawit, Chia Siew Yung; dan bekas pembantu tadbir di Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *