Sabah Mampu Setanding Dengan Negara Jiran Dalam Industrilisasi

OSEMPORNA: Hasrat menjadikan Sabah sebagai negeri berasaskan industrilisasi hanya mampu direalisasikan sekiranya tiada lagi ketirisan dan amalan rasuah dalam pengurusan dan pentadbiran negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau yakin resepi kekayaan sumber yang ada di Sabah akan membolehkan negeri ini berdiri teguh setanding negara-negara jiran lain.

“Sabah mempunyai resepi kekayaan seperti minyak dan gas, kayu balak serta pelancongan. Kita sedar Sabah boleh menjadi negeri berasaskan industrilisasi yang mampu berdiri setanding dengan negara jiran.

“Singapura tidak mempunyai minyak dan gas mahupun kayu balak tetapi mereka boleh maju…jadi mustahil kita di Sabah tidak boleh maju dengan kekayaan sumber yang kita ada.

“Ia boleh direalisasikan sekiranya pengurusan pentadbiran negeri ada wawasan..jangan ada ketirisan dan rasuah berlaku supaya dalam keadaan kewangan yang terbatas ini, kita mampu menyalurkan bantuan kepada rakyat yang miskin.

“Ini akan menjadi pegangan pimpinan Kerajaan Sabah baharu untuk membangunkan Sabah sebaik mungkin,” katanya ketika berucap sempena Upacara Penangguhan Sambutan Regatta Lepa 2019, di sini pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga memberi jaminan untuk memastikan Semporna bukan hanya membangun dalam sektor pelancongan tetapi juga dalam sektor-sektor lain termasuk sektor makanan laut yang begitu banyak di daerah itu.

Selain pembangunan di Semporna, kerajaan juga akan membangunkan sektor tertentu di daerah yang berjiran dengan Semporna seperti di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu bagi memastikan usaha menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan dapat dijayakan.

Hasrat itu dilihat mampu dijayakan melalui pembangunan Terminal Makanan Tawau dan usaha membina kilang minyak masak di Keningau, Lahad Datu dan kawasan yang mempunyai banyak ladang sawit.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, perancangan membina kilang minyak masak itu sudah disuarakan kepada Benta Wawasan dan dalam sedikit masa lagi, pembinaan kilang itu pasti dapat direalisasikan.

Di Sandakan pula, kerajaan akan membangunkan sektor pembuatan perabot di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC).

“Menerusi lawatan saya bersama Timbalan Ketua Menteri ke China baru-baru ini, kami melawat kilang pembuatan perabot yang menjana pendapatan RM1.3bilion setahun. Kita akan membawa masuk pelabur (China) ke Sabah, kita akan berunding supaya pelabur datang dan kita akan bekerjasama dengan pelabur dalam mewujudkan situasi menang-menang. Kita tidak akan menjual tanah kepada mereka,” jelasnya.

Dalam memastikan usaha pembangunan di Sabah dapat dijayakan, kerajaan akan memastikan tahap keselamatan di daerah ini dan kawasan sekitarnya terus dipertingkatkan.

“Selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah, kita telah merangka beberapa langkah untuk memastikan usaha menjaga keselamatan dapat dijayakan. Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat serta Kedutaan Filipina dan Indonesia agar bersama-sama memastikan keselamatan dirantau ini terjamin dan tidak kacau bilau.

“Sekiranya kita dapat melahirkan rantau yang selamat maka, ekonomi dapat dipertingkatkan dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan negeri ini dengan sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, beliau sedar harapan rakyat begitu tinggi untuk melihat perubahan berlaku di Sabah maka, beliau akan memastikan usaha meningkatkan kemudahan dan melaksana pembangunan di Sabah demi meningkatkan taraf hidup rakyat akan diteruskan.

Mohd Shafie juga memberi jaminan kemudahan sektor pelancongan di daerah itu akan ditambahbaik dari masa ke semasa termasuk usaha membina hotel bertaraf lima bintang yang dijangka mampu dibangunkan dalam tempoh dua tahun lagi. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *