Isteri mendiang Tien Fatt rayu rakyat sokong Vivian

Balu Mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Datin Chong Mee Fook, berucap ketika Ceramah Perdana PRK P. 186 Sandakan di Dewan SM Yu Yuan, Bandar Prima. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Semua mata tertumpu kepada Datin Chong Mee Fook, isteri penyandang kerusi Parlimen Sandakan, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt ketika berucap dalam Ceramah Perdana DAP, di sini, malam tadi.

Mengenakan pakaian serba hitam, Mee Fook meminta semua hadirin terus menyokong mendiang suaminya dengan mengundi anak bongsu mereka, Vivian Wong Shir Yee pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Vivian yang mempertahankan kerusi parlimen Sandakan yang disandang bapanya selama dua penggal, dicabar empat lagi calon lain termasuk tiga wakil Bebas.

“Kematian mengejut suami saya pada 28 Mac sememangnya menyakitkan. Dia bukan saja meninggalkan isteri dan anaknya, tetapi kita semua. Dia meninggalkan impiannya dan ada kerja yang belum siap seperti melawat rumah warga tua di Kinarut (daerah Papar).

“Saya harus berterima kasih dengan DAP Keningau yang menyedarkan saya dan anak (Vivian) pada awal April. Mereka kata, ‘Vivian bawa ibu kamu keluar, tiada guna menangis, buat sesuatu’,” katanya.

Mee Fook berkata, dia dan Vivian kemudian melawat rumah warga tua dan memberi ‘ang pow’ kepada 86 penghuni di rumah warga tua itu, sebelum dibalas dengan senyuman manis yang memberi kekuatan kepadanya.

Katanya, masih banyak kerja yang belum diselesaikan mendiang dan Vivian komited untuk meneruskan kerja Tien Fatt.

Terdahulu, Vivian berkata, beliau menyertai DAP sejak lapan tahun lalu ketika berumur 22 tahun bersama bapanya dalam parti pembangkang dan meminta golongan belia menyokongnya.

“Sebahagian besar kita (belia) ada ijazah, namun tiada pekerjaan kerana ekonomi yang tak bagus, tiada peluang kerja.

“Jika anda undi saya, anda bukan saja undi saya tetapi semua belia. Berikan orang muda harapan baru,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *