Bersih Perkuburan Amalan Biasa Mendiang Stephen Bukan Gimik Politik

OSANDAKAN: DAP menegaskan aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam telah menjadi amalan parti itu dalam berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Ginger Phoong berkata, langkah tersebut bukanlah gimik politik seperti didakwa pembangkang yang kononnya bertujuan menarik sokongan pengundi Islam kepada DAP sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Merujuk kepada gambar yang tular di media sosial menunjukkan calon DAP, Vivian Wong, 30, membersihkan tanah perkuburan di Kampung Sim-Sim, kata Ginger, aktiviti tersebut telah dimulakan oleh mendiang Stephen Wong sejak menjadi wakil rakyat pada 2013 bukannya perkara baharu.

Amalan membersihkan tanah perkuburan diteruskan dan gambar ini dirakamkan pada 2018.

“Amat dikesali apabila pembangkang dan segelintir orang awam melihatnya sebagai gimik politik.

“Sebenarnya ini adalah amalan biasa oleh mendiang Stephen. Kami sebenarnya tidak mahu memberi komen atau respon kepada kritikan itu tetapi saya lihat pihak pembangkang telah melampaui batas dengan memperlekeh perkara baik itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, gambar berkenaan yang tular di media sosial menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial terutama yang menganggapnya sebagai gimik politik semata-mata.

Sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, Stephen Wong sentiasa bersama rakyat termasuklah aktiviti membersihkan tanah perkuburan yang dimulakan pada 2015 seperti dirakamkan di gambar ini.

Ginger yang juga pengurus kempen PRK Sandakan Vivian berkata, aktiviti membersih tanah perkuburan sudah diamalkan di Kampung Sim-Sim terutama apabila tiba bulan Ramadan, yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.

“Hari ini genap sebulan pemergian mendiang Stephen, kami telah menuruti jejak langkah beliau iaitu sentiasa merendah diri dengan turun padang berkhidmat kepada rakyat dan membantu apa sahaja.

“Ini tidak pernah menjadi isu pada masa lalu kerana tidak mendapat tumpuan orang awam seperti hari ini sedangkan kami lakukannya atas niat baik, saya kecewa ini dipolitikkan sempena pilihan raya.

“Dengan membersihkan tanah perkuburan, kami meneruskan legasi yang dimulakan Stephen dan berharap PRK Sandakan menjadi contoh kesatuan serta keharmonian yanh telah dijadikan pedoman mendian sepanjang hidupnya,” jelas beliau. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *