Ahli Politik Tidak Boleh Dilantik Menjadi Pemerhati Politik


Datuk Lajim Ukin. – Foto ihsan BERSIH 2.0

KOTA KINABALU: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) mempersoalkan keharusan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) melantik ahli politik sebagai Pemerhati pilihan raya. Adakah SPR mempunyai polisi yang menentukan sama ada ahli politik yang aktif boleh menjadi Pemerhati untuk SPR dan sekiranya ada, adakah SOP yang jelas untuk membatalkan permohonan menjadi Pemerhati?

Kelmarin, di pusat penamaan calon PRK Sandakan, Datuk Lajim Ukin telah dilihat memakai baju rasmi dan tag nama Pemerhati. Lajim adalah bekas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah(PHRS) yang kini telah dibubarkan dan menyertai PPBM Sabah, parti yang di dalam gabungan Pakatan Harapan(PH), yang salah satu parti komponennya iaitu DAP bertanding dalam PRK kali ini.

Bersih 2.0 berpandangan Pemerhati pilihan raya sepatutnya adalah individu ataupun organisasi yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, apatah lagi daripada parti/gabungan yang sedang bertanding. Hal ini selari dengan piawaian yang ditetapkan oleh Deklarasi Prinsip Global untuk Pemerhati dan Pemantauan Pilihan Raya Non-Partisan oleh Organisasi Sivil(Suruhanjaya Venice). Kepentingan untuk pemerhati non-partisan bagi pilihan raya adalah pemerhati perlu menilai keseluruhan integriti proses pilihan raya dan laporan mereka dapat menambah atau merosakkan kesahan keputusan pilihan raya. Adakah ahli politik dapat menjadi pemerhati yang neutral?

Sekiranya Lajim atau mana-mana ahli politik dilantik menjadi Pemerhati, maka SPR perlu menjelaskan atas asas apa mereka dilantik ataupun terdapat kegagalan dalam SOP mereka untuk menapis permohonan menjadi Pemerhati.

Bersih 2.0 memuji keterbukaan SPR sejak PRU14 dalam melantik banyak kumpulan tempatan dan NGO-NGO, termasuk Bersih 2.0 sebagai sebahagian daripada program Pemerhati, namun mereka janganlah pula merosakkan integriti program ini dan merendahkan keneutralan SPR dengan melantik ahli politik yang aktif sebagai pemerhati pilihan raya.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *