PH bakal menang mudah di Sandakan


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar

Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak akan berdepan kesulitan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 11 Mei depan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata pemilihan calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, sangat bertepatan kerana membawa aura mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang sangat disenangi penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata, bagaimanapun jentera dan petugas PH tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan pengundi di sana.

“Saya yakin DAP bijak membuat percaturan meletakkan Shir Yee, anak bongsu kepada mendiang yang memenangi kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Mendiang seorang ahli politik yang mempunyai hubungan akrab dengan pengundi.

“Pengundi pasti sudah tahu siapa yang mampu membawa suara mereka dan saya yakin PH akan lalui jalan mudah untuk menang, seiring dengan kerja kuat jentera serta calon itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyerahkan sumbangan makanan asas kepada 150 penerima dalam Program Jejas Asnaf Peduli Rakyat di Tadika KEMAS Hutan Kampung di sini, petang ini.

PRK Parlimen Sandakan bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru apabila Shir Yee (DAP) bakal berdepan saingan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, selain tiga calon bebas termasuk bekas Pengerusi AMANAH Sabah, Hamzah Abdullah.

Ditanya mengenai Hamzah yang keluar parti untuk bertanding tiket bebas, Mahfuz berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan itu kerana menyifatkan ia ‘hobi’ individu terbabit yang sering melompat parti.

“Sebelum ini beliau adalah ahli PAS, kemudian keluar PAS sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas itu sertai AMANAH dan sekarang keluar AMANAH, itu memang hobi beliau.

“Bagi saya itu hak beliau tetapi saya percaya orang yang berada dalam AMANAH akan sentiasa mahu beri komitmen, ini satu tapisan apabila sampai satu peringkat orang yang tidak jujur, Allah akan tapis mereka untuk mereka gugur dengan sendiri, akhirnya kita akan nampaklah (siapa) yang jujur dan ikhlas untuk rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *