Pandai bergaya

GAYA bersahaja Ndakazi dan Ndeze ketika swafoto diambil. FOTO/ Agensi
SHAMAVU bersama seekor daripada gorila berkenaan. FOTO/ Agensi

GAMBAR dua gorila beraksi untuk kamera ketika swafoto diambil penjaga mereka mencuit hati pengguna Internet.

Penjaga mereka, Mathieu Shamavu berkata, dua gorila betina itu, Ndakazi dan Ndeze dijaga di Taman Negara Virunga, Republik Demokratik Congo sejak ibu mereka mati dibunuh pemburu 12 tahun lalu, lapor The Guardian.

Shamavu berkata, dia sedang bermain dengan telefon bimbit apabila melihat dua gorila berkenaan yang berdiri di belakangnya beraksi dan meniru dengan seekor berdiri tegak manakala seekor lagi membongkokkan badan sedikit supaya dapat masuk dalam kamera telefon bimbit itu.

Foto dinamakan ‘swafoto gorila’ itu tular selepas dimuat naik ke media sosial.

Menurutnya, hubungan rapat dengan penjaganya itu sejak kecil menyebabkan dua beradik gorila itu turut belajar dan meniru gerak-geri manusia.

“Kami umpama keluarga mereka kerana ibu bapa dan kawanan sudah tiada. Ketika kecil mereka memerlukan penjagaan rapi menyebabkan penjaga dan renjer sentiasa ada bersama mereka.

“Kami cuba mengajar mereka tindak-tanduk haiwan, namun disebabkan sentiasa bersama kami, Ndakazi dan Ndeze banyak bersikap seperti manusia,” katanya dipetik The Metro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *