RM9.3j kos baiki cerun runtuh Jalan Sandakan-Tawau

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

TAWAU: Projek pembinaan semula cerun runtuh di Kilometer 251.6 Jalan Sandakan – Tawau yang membabitkan kos sebanyak RM9.3 juta dijangka siap sepenuhnya November tahun depan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony, berkata kerja awal projek itu sudah bermula awal bulan ini oleh kontraktor baharu yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, masalah jalan raya terutama membabitkan jalan utama setiap daerah di negeri ini perlu ditangani dan diselesaikan segera.

“Kita tidak mahu apabila berlakunya runtuhan atau jalan mendap seperti yang berlaku di sini, mengambil masa yang lama, bertahun-tahun untuk disiapkan.

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

“Tidak kira sama ada jalan yang rosak itu di bawah seliaan JKR atau kerajaan negeri, kerja-kerja pembaikan atau pembinaan semula perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau projek pembinaan semula cerun runtuh di Kilometer 251.6 Jalan Sandakan – Tawau (Laluan Persekutuan 13), di sini, hari ini.

Hadir sama pembantunya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho; ADUN Balung, Datuk Osman Jamal dan ADUN Sri Tanjung, Datuk Jimmy Wong.

Peter turut menggesa JKR mengambil inisiatif atau kaedah baharu bagi mengatasi masalah jalan raya seperti membina struktur atau jalan alternatif untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

“Jika di Semenanjung masalah sebegini dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga bulan, tidak mustahil di Sabah juga perkara sama boleh dilakukan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *